
Ketua Umno Perak Saarani Mohamad berkata, penyertaan bekas wakil rakyat Kampung Gajah Wan Norashikin Wan Noordin ke dalam PAS hanya menyebabkan ‘kekurangan satu undi’.
“Kami sudah menjangkakannya sejak lama … jadi, perkara itu tidak beri sebarang kesan. Beliau hanya menyebabkan kekurangan satu undi di Parlimen Pasir Salak dan DUN Kampung Gajah,” katanya, lapor Bernama.
Wan Norashikin, ditemani suaminya Setiausaha PAS Tapah Muhammad Noor Farid Zainal, menyerahkan borang keahlian PAS kepada presiden parti itu, Hadi Awang, pada satu ceramah bersempena PRK Ayer Kuning semalam.
Pengerusi majlis ketika mengumumkan serahan borang itu menyifatkan perkembangan ini sebagai ‘menggemparkan’, dan mengangkat Wan Norashikin sebagai ‘seorang tokoh Umno’.
Ketika bersama Umno, Wan Norashikin pernah menjadi ketua Wanita Perak dan exco Wanita pusat.
Beliau bertanding di DUN Kampung Gajah pada PRK 2008, 2018, dan 2022, dan pernah menjadi exco kerajaan Perak dari 2020 hingga 2022, memegang portfolio pembangunan wanita dan keluarga.
Dalam pada itu, Saarani menepis dakwaan Hadi bahawa Umno semakin lemah, menyifatkan ia tidak mencerminkan realiti politik semasa.
“Pada peringkat pusat, kita ada 30 kerusi dan pemimpin Umno turut memegang jawatan penting dalam kerajaan persekutuan termasuk timbalan perdana menteri,” katanya.
“Di Perak pula, kita menang sembilan kerusi dan masih menjadi kerajaan, saya sendiri menteri besar … jadi di mana dikatakan hilang taring? Itu cuma cakap sedap mulut.”