Fuziah sahkan ada mesyuarat MPP PKR, tetapi bukan ‘tergempar’

Fuziah sahkan ada mesyuarat MPP PKR, tetapi bukan ‘tergempar’

Setiausaha Agung PKR berkata, mesyuarat itu dipanggil atas permintaan ahli MPP, dengan notis 7 hari diberikan.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata, mesyuarat MPP PKR yang akan diadakan Rabu depan dipersetujuai presiden parti.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mengesahkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti akan mengadakan mesyuarat pada Rabu, tetapi menafikan ia mesyuarat tergempar, seperti yang didakwa dalam satu laporan.

Beliau berkata, mesyuarat itu dipanggil dengan notis sewajarnya, berikutan permintaan beberapa ahli MPP.

“(Saya) telah jawab permohonan tersebut dengan memberi notis dan memanggil mesyuarat seperti yang diminta dan presiden (PKR) juga telah bersetuju,” katanya kepada FMT.

“Ia bukan mesyuarat tergempar kerana notis tujuh hari telah diberikan. Cuma bezanya, cara ia dipanggil, (iaitu) atas permintaan ahli MPP dan ini selain daripada mesyuarat bulanan biasa.”

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai agenda mesyuarat itu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, satu mesyuarat ‘tergempar’ MPP PKR akan diadakan Rabu ini untuk membincangkan dakwaan penyelewengan dalam pemilihan dalaman parti yang sedang berlangsung.

Dilaporkan mesyuarat itu dipanggil atas permintaan lebih 20 ahli MPP, iaitu melebihi syarat satu pertiga mengikut perlembagaan parti.

Minggu lepas, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail menggesa PKR tangguh pemilihan di negeri lain sehingga beberapa isu ‘pelik’ dalam proses pengundian ditangani.

Rodziah berkata, beliau mendapati beberapa insiden ‘pelik’ dalam pemilihan cabang Selangor minggu lepas, termasuk undi untuk jawatan ketua cabang Shah Alam didakwa gagal direkodkan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Adun Rawang Chua Wei Kiat juga berkata, mereka akan merayu keputusan pemilihan cabang PKR Selangor Sabtu lepas, selepas tewas dalam perebutan jawatan ketua.

Lee berkata, beliau terima banyak panggilan dan mesej yang mempersoalkan ketelusan proses pengundian, dan mengesahkan bahawa pasukannya akan mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP)

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad semalam berkata, beliau akan memfailkan rayuan selepas gagal mempertahankan jawatan ketua cabang Setiawangsa.

Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa dua penggal yang juga seorang menteri berkata, beliau akan menggunakan saluran sewajarnya untuk membangkitkan beberapa ‘isu’ yang timbul semasa pemilihan cabang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.