Budak autistik hilang, tinggal anak patung di luar rumah

Budak autistik hilang, tinggal anak patung di luar rumah

Budak lelaki 5 tahun itu dipercayai keluar rumah tanpa disedari keluarganya.

Seorang budak lelaki autistik berusia 5 tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Bahagia II, Tamparuli, hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang budak lelaki penghidap autisme dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Tuaran, tanpa disedari ahli keluarganya, hari ini.

Mangsa berusia 5 tahun itu hanya disedari hilang selepas didapati tiada di rumahnya yang terletak di Kampung Bahagia II, Tamparuli, dengan hanya anak patungnya ditemukan di luar rumah, lapor Sinar Harian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohamad Nor Amit berkata, polis memaklumkan pihaknya tentang kejadian itu pada 1.52 tengah hari.

Susulan itu, 10 anggota bersama Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11km dari BBP Tuaran.

“Menurut maklumat daripada polis Tamparuli, kanak-kanak autisme itu dipercayai hilang di belakang Pejabat Daerah Tamparuli,” katanya.

Mohamad Nor Amit berkata, usaha pencarian dilakukan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang, termasuk 300m dari lokasi terakhir dia dilihat.

“Mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari ditangguhkan pada 7 malam atas arahan polis. Operasi akan disambung semula esok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.