
Beliau bertindak sedemikian susulan bantahan oleh sekumpulan penduduk taman itu, serta Bukit Kemuning dan Batu Lapan, yang nekad menyerahkan memorandum kepada Amirudin yang sedang berkempen PRK Ayer Kuning hari ini.
“Saya memahami kegusaran dan kegelisahan para penduduk Taman Sri Muda akibat peristiwa banjir kilat yang berlaku ini,” katanya dalam kenyataan.
“Penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan secepat mungkin dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan persekutuan amat penting agar peristiwa hitam banjir besar 2021 tidak berulang lagi.”
Menurut Amirudin lagi, Izham akan mengenal pasti tindakan segera termasuk bertemu dengan penduduk yang terkesan.
“Kerajaan negeri tegas dan komited memastikan isu ini dapat ditanggapi dengan cermat dan (dengan) penyelesaian menyeluruh supaya sebarang insiden tidak diingini dapat ditangani sewajarnya dan dapat dikurangkan kesannya kepada penduduk yang terjejas,” tambahnya.
Sebagai langkah permulaan, katanya, setiausaha politiknya, Saifuddin Shafi akan mengadakan mesyuarat koordinasi melibatkan semua pihak, termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Terdahulu, 40 penduduk Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan menaiki bas ke DUN Ayer Kuning untuk menghantar memorandum kepada Amirudin.
Mereka menuntut agar kerajaan memberikan penyelesaian muktamad dan kekal untuk menghentikan isu banjir di kawasan mereka.
Mereka juga mahukan penjelasan rasmi dan dan dana bantuan daripada kerajaan.