
Beliau berkata, lima laporan itu difailkan malam tadi di Balai Polis Pantai oleh wakil PKR dan Umno di Lembah Pantai.
“Setakat saya tahu, sekurang-kurangnya lima laporan telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas hadir satu majlis di Bangsar South, Kuala Lumpur.
Katanya, laporan itu difailkan supaya siasatan polis dibuat mengikut Akta Lambang dan Nama dan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar).
“Ini kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan sekiranya pihak polis mendapati apa-apa perkara melibatkan undang-undang, kita pohon agar tindakan tegas diambil.
“Wajib faham tentang aspek protokol, pemakaian, penggunaan Jalur Gemilang…ada ketertibannya, ada tata caranya. Kegagalan mematuhi adalah satu kesalahan…kita tak mahu ada pihak ambil jalan mudah kata ini kesilapan. Seharusnya mereka faham dan tahu,” katanya.
Semalam, vendor makanan bayi berpangkalan di Singapura, memohon maaf selepas menayangkan satu video di reruainya yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, insiden ketiga dalam tempoh seminggu.
Singapore Lactation Bakes, mengambil bahagian dalam pameran perdagangan produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, berkata pihaknya amat kesal dan memohon maaf atas kesilapan tersebut, sambil mengakui kepentingan bendera menjadi lambang identiti, warisan, dan perpaduan Malaysia.
Mereka menyatakan kesilapan itu tidak disengajakan namun amat dikesali, sambil menambah pihaknya menerima tanggungjawab sepenuhnya.
Penganjur TCE Baby Expo berkata, pihaknya bertindak menutup reruai pempamer berkenaan sejurus insiden diketahui, termasuk menjalankan siasatan dalaman.
Beberapa hari lalu, akhbar Sin Chew Daily menerbitkan di muka hadapan grafik Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Insiden membawa kepada sejumlah laporan polis difailkan ke atas syarikat media itu, penggantungan dua editor kanan, selain siasatan dibuat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Sin Chew juga memohon maaf atas kesilapan.
Kwong Wah Yit Poh juga disiasat melibatkan hantaran di Facebook dikatakan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.