
Saarani berkata beliau telah merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian Perak serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berhubung perkara terbabit.
“Kedua-dua agensi negeri dan persekutuan memaklumkan kepada saya bahawa dakwaan itu tidak benar,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, komuniti Orang Asli di Kampung Chang Lama mendakwa bahawa syarikat kuari Siong Emas Sdn Bhd telah menceroboh tanah warisan mereka.
Ketua Kampung Dahil Yok Chopil mendakwa syarikat it telah melanggar deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai hak-hak masyarakat peribumi kerana tidak mendapatkan persetujuan daripada Orang Asli.
Beliau menggesa pajakan tanah syarikat itu dibatalkan.
Kumpulan alam sekitar, Peka, turut menuduh pihak berkuasa negeri gagal melindungi tanah masyarakat peribumi.
Bagaimanapun, Siong Emas menyatakannya mempunyai hak milik dan pajakan tanah yang sah sehingga tahun 2066.
Syarikat itu sebaliknya mendakwa pencerobohan dilakukan oleh Orang Asli, dengan merujuk kepada kehadiran pokok kelapa sawit dan papan tanda di kawasan tersebut.