Seluruh jentera kerajaan perlu siaga depani ketaktentuan ekonomi global

Seluruh jentera kerajaan perlu siaga depani ketaktentuan ekonomi global

Siap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, kata PM di sebalik pengumuman tarif AS.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu daya tahan dalaman ekonomi diperkukuh terhadap sebarang kejutan, di sebalik pengumuman tarif AS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seluruh jentera kerajaan persekutuan dan negeri perlu bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri mahu daya tahan dalaman ekonomi diperkukuh terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan negara.

“Segala perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan,” katanya di platform X, selepas mempengerusikan mesyuarat khas pembangunan Sarawak di Kuching.

Mesyuarat dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Abang Johari Openg, antara lain.

Mesyuarat antara lain membentangkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak, dan membincangkan hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar selaras perancangan persekutuan.

Pentadbiran Donald Trump awal bulam ini melaksanakan tarif minimum 10% ke atas import dari semua negara, bawah dasar perdagangan timbal balik dan tarifnya.

Negara anggota Asean di Indochina antara paling terjejas, dengan Kemboja dikenakan gabungan tarif dasar dan timbal balik berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), Vietnam (46%), dan Myanmar (44%).

Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36%, Indonesia 32%; Brunei dan Malaysia masing-masing 24%; Filipina 17%; manakala Singapura pada tarif asas 10%.

Tarif timbal balik itu kini ditangguhkan sementara selama 90 hari, kecuali terhadap China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.