
Ketua DAP negeri Phoong Jin Zhe berkata: “Prasyarat itu penting sebelum menentukan sebarang pakatan politik – sama ada kita ada dasar yang sama, bagaimana kita boleh tingkatkan kadar kesuburan di Sabah atau bina lebih banyak hospital demi manfaat rakyat Sabah.”
Beliau berkata, DAP Sabah telah bekerjasama dengan banyak parti sebelum ini, namun apa yang lebih penting ketika ini adalah membentuk dasar-dasar yang baik untuk menyelesaikan pelbagai cabaran dan isu yang dihadapi negeri itu.
“Ini pendirian DAP. Kita bincang dasar dahulu, kemudian barulah boleh cakap tentang kerjasama dengan mana-mana parti untuk bentuk kerajaan atas dasar tersebut.
“Jika tidak, rakyat anggap kita hanya fikir politik sepanjang masa, dan itu tidak baik untuk Sabah,” katanya, lapor The Borneo Post.
Phoong yang juga menteri negeri menegaskan, DAP Sabah belum mengadakan sebarang rundingan rasmi mengenai pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti, termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan sekarang, dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan kedua-dua gabungan tersebut.
“Jika kita terima undangan rasmi esok contohnya, kita akan pertimbangkan. Tiada masalah, kita boleh bincang sambil minum kopi. Tetapi jangan umumkan apa-apa sebelum rundingan rasmi diadakan,” katanya.
Kenyataan Phoong itu merujuk pengumuman awal oleh Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin bahawa gabungan itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi PRN17, yang mesti diadakan selewat-lewatnya Disember ini.
Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir kemudian mempertahankan kenyataan Bung dengan berkata, ia langkah strategik untuk ‘menetapkan agenda’; sama ada kerjasama itu akan terjalin atau tidak, itu perkara kedua.
Terdahulu, Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata, gabungannya akan mengadakan perbincangan rasmi dengan PH dalam masa terdekat untuk membincangkan kerjasama menjelang PRN.
PH sebelum ini memberikan sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri selepas BN Sabah menarik balik sokongan pada awal 2023.