
Afdlin memperoleh 631 undi, berbanding 563 undi diperoleh Nik Nazmi yang juga naib presiden PKR.
Afdlin yang juga seorang pelakon dan pengarah menyertai PKR pada 2021, dan bertanding jawatan itu pada 2022, namun kalah kepada Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa dua penggal.
Ini merupakan cubaan kedua Afdlin merebut jawatan itu selepas tewas kepada Nik Nazmi pada 2022.
Afdlin, seorang pelakon dan pengarah sertai PKR pada 2021, manakala Nik Nazmi sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa.
Sementara itu di Bukit Bintang, seorang lagi naib presiden yang juga timbalan menteri K Saraswathy, kecundang dalam pertandingan lima penjuru merebut jawatan ketua cabang.
Anwar Pawan Chik sebaliknya mendapat undi tertinggi (807 undi), diikuti Saraswathy (683); G Sivamalar (664); C Kishore Kumar (32) dan Loh Ker Chean yang tidak memperoleh undi kerana menarik diri atas sebab kesihatan.
Di Wangsa Maju, penyandang ketua cabang Lai Chen Heng berjaya menepis persaingan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan, walaupun timbul dakwaan bahawa penyata kewangan cabang itu dimanipulasi sebelum pemilihan parti.
Lai memperoleh 587 undi manakala Zahir dan Abdullah Talib masing-masing memperoleh 495 dan 221 undi.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang juga menteri komunikasi, dan Azman Abidin, setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim masing-masing dipilih semula sebagai ketua Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak, tanpa persaingan.
Sementara itu, Ketua PKR Batu P Prabakaran ditewaskan oleh peguam dan bekas aktivis pelajar Asheeq Ali, yang memperoleh 946 undi berbanding 793 undi diperoleh Prabakaran.
Kempen Prabakaran dicemari video tular menunjukkan seorang wanita mendakwa Ahli Parlimen itu akan mengagihkan wang tunai sebagai ‘token’ kepada ahli PKR menjelang hari pengundian pemilihan cabang.
Prabakaran menafikan mengeluarkan arahan khusus untuk memberi ‘token’ kepada pemilih agar menyokong beliau dan pasukannya, dan berkata beliau terbuka untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk siasatan lanjut.