Sentimen pemimpin Melayu dalam DAP tak jejas sokongan di Ayer Kuning, kata Syahredzan

Sentimen pemimpin Melayu dalam DAP tak jejas sokongan di Ayer Kuning, kata Syahredzan

DAP komited sokong calon BN dan fokus kempen ialah kesinambungan perkhidmatan yang ditinggalkan penyandang.

DAP diberikan tanggungjawab membantu di 15 pusat daerah mengundi pada PRK Ayer Kuning dengan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi. (Gambar fail)
TAPAH:
Sentimen mengenai pemimpin Melayu dalam DAP tidak menjadi penghalang untuk menambat hati pengundi pada PRK DUN Ayer Kuning, kata Naib Pengerusi Syahredzan Johan.

Beliau berkata, persepsi negatif sering dikaitkan dengan penyertaan pemimpin Melayu dalam parti itu berpunca daripada kurangnya pendedahan dan interaksi secara langsung dengan masyarakat setempat, khususnya di kawasan luar bandar.

“Ini soalan yang selalu diketengahkan kepada saya…saya fikir kebanyakan persepsi itu datang daripada situasi yang mungkin mereka tidak mengenali pemimpin-pemimpin Melayu DAP. Jadi orang kata tak kenal maka tak cinta.

“Pada masa sama di Perak ada Naib Pengerusi DAP Perak Aziz Bari, jadi saya fikir warga Perak tidaklah asing dengan DAP,” katanya ketika ditemui pemberita di gerai Capati Perak.

Turut hadir Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Young Syefura Othman.

Syahredzan berkata, DAP komited menyokong calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Yusri Bakir dan fokus kempen ialah kesinambungan perkhidmatan yang ditinggalkan penyandang bagi memastikan pembangunan dan kebajikan penduduk Ayer Kuning terus terjamin.

Beliau berkata, DAP diberikan tanggungjawab membantu di 15 pusat daerah mengundi (PDM) dengan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan KS Bawani (Parti Sosialis Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.