Selangor teliti keperluan haram penjualan vape

Selangor teliti keperluan haram penjualan vape

Menteri Besar Amirudin Shari berkata penjualan vape juga bergantung kepada peraturan kerajaan persekutuan.

Vape
Semalam Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kerajaan negeri boleh mengharamkan penjualan vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu. (Bernama pic)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor sedia meneliti keperluan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini sebagaimana saranan dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay semalam.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan Negeri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perkara ini bergantung kepada peraturan Persekutuan, kita akan dapat laksanakan cuma saya lihat ia perlu perbincangan bersama pihak yang berkaitan (dan) kalau ada keperluan kita laksanakan…saya perlu dapatkan keseluruhan fakta dan pandangan,” katanya.

Semalam, Ayob Khan dilaporkan berkata kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga penaung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor berkata peratusan mereka yang terlibat dengan gejala penagihan dadah di Selangor adalah rendah jika dibandingkan dengan negeri lain.

“Yang kadang-kadang diuar-uarkan itu adalah data keseluruhan, itu wajar kerana Selangor populasinya tujuh juta, Kelantan mungkin tak sampai dua juta tapi kita kena lihat data yang per 100,000 itu lebih tepat untuk lihat gejala penagihan dadah ini berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.