Rujuk laman web untuk maklumat tragedi Putra Heights, Amirudin beritahu PN

Rujuk laman web untuk maklumat tragedi Putra Heights, Amirudin beritahu PN

Menteri besar Selangor berkata taklimat khas kepada Adun kerajaan hanya tumpu bantuan kepada mangsa.

Massive gas pipeline fire in Malaysia
Menteri Besar Amirudin Shari berkata semua maklumat lanjut dan terperinci mengenai kebakaran paip gas di Putra Heights boleh diperoleh di laman sesawang kerajaan negeri. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Adun pembangkang di Selangor yang mahu maklumat lanjut dan terperinci mengenai insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights boleh merujuk laman sesawang kerajaan negeri, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin mengulas kenyataan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor, Afif Bahardin, yang kesal selepas Adun pembangkang tidak diundang menghadiri taklimat khas berhubung insiden itu yang dianjurkan kerajaan negeri Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sesi taklimat khas itu dianjurkan atas permintaan Adun kerajaan sendiri dan hanya tertumpu kepada bantuan sokongan yang telah diberi kepada mangsa.

“Laman web pun ada. Kalau dia nak tahu boleh rujuk laman sejauh mana kita sudah bantu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Seindah Syawal Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

Amirudin juga menafikan dakwaan Afif bahawa tindakan meminggirkan Adun PN adalah tidak demokratik dan kerajaan negeri mahu mengawal naratif tanpa diganggu soalan kritikal wakil rakyat pembangkang.

“Itu tanggapan kosong,” katanya sambil menambah siasatan masih dijalankan pasukan penyiasat teknikal dan sebagainya.

Kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada Aidilfitri kedua 1 April lalu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Seramai 111 cedera, kebanyakannya melecur dan mengalami masalah pernafasan.

Sebanyak 399 kenderaan rosak, manakala 235 rumah terjejas, 87 musnah sepenuhnya dan 148 lagi rosak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.