
Sebaliknya, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berpandangan parti itu perlu memanfaatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan, dengan memulakan rundingan kerusi khususnya di kawasan bandar sebagai langkah pemulihan dan survival menjelang PRU16.
“Umno-BN perlu realistik dan memahami landskap politik baharu. Sasaran kepada kerusi majoriti Melayu sahaja tidak mencukupi, perlu ada rundingan strategik dengan PH terutama di kerusi bandar agar proses pemulihan parti dapat dilakukan secara menyeluruh,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, momokan ‘UmDAP’ – label yang digerakkan pihak lawan bagi menanam kebencian terhadap kerajaan perpaduan dalam kalangan orang Melayu juga semakin reda malah kerjasama dua parti itu dilihat semakin diterima akar umbi.

“Walaupun masih terdapat segelintir kecil ahli sukar menerima kerjasama politik ini akibat tindakan segelintir pemimpin yang cuba membakar jambatan kerjasama demi kepentingan politik peribadi mereka, bagi saya persepsi ini semakin reda,” katanya.
Katanya, keberadaan Umno dalam kerajaan perpaduan juga memberi impak kepada pemulihan parti apabila dua PRK iaitu DUN Nenggiri dan Mahkota dimenangi BN dengan majoriti besar, dan tidak mustahil kejayaan sekali lagi dicapai dalam PRK Ayer Kuning menerusi corak kerjasama politik BN-PH.
Tawfik berkata, berbaki dua tahun pentadbiran Anwar Ibrahim, PRK 26 April ini sedikit sebanyak menjadi penentu sejauh mana hubungan kerjasama antara BN dan PH mampu diteruskan dalam PRU16.
“Kejayaan BN adalah kebaikan untuk PH, kecemerlangan PH memberi manfaat kepada BN,” katanya berpendapat kedua-dua gabungan wajar memuktamadkan kerjasama sebelum PRU16 bagi memastikan potensi kemenangan lebih besar pada pilihan raya akan datang.
Keputusan rasmi PRU 2022 menyaksikan tiada parti membentuk majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi sehingga mencetuskan situasi Parlimen tergantung, pertama kali dalam sejarah negara.
PH memperoleh 82 kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) menang di 74 Parlimen manakala BN hanya mendapat 30 kerusi, prestasi terburuk sepanjang PRU.
Anwar kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022 selepas mendapat sokongan majoriti 148 Ahli Parlimen.
Kerajaan perpaduan terdiri PH 82 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6), Warisan (3), KDM (2), PBM (1), dan bebas (1).

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan tidak menolak kemungkinan kedua-dua parti terus bekerjasama, namun akan bergerak solo dalam PRU16 selepas pembahagian kerusi dimuktamadkan.
“PRN enam negeri lalu menunjukkan penyokong PH sukar sokong calon Umno, dan penyokong Umno juga ragu-ragu terhadap calon PH. Maka formula terbaik adalah kedua-duanya kekal dalam kerajaan, tetapi bertanding secara berasingan tanpa pertembungan,” katanya.
“Mungkin satu hingga empat kerusi bertembung tetapi majoritinya tidak bertembung.”

Dalam pada itu, Yusri Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu berpendapat walaupun kedudukan Umno ketika ini lebih baik berbanding PRU15 dan PRN enam negeri Ogos 2023, parti tersebut belum mampu mengatasi sepenuhnya momokan negatif kerjasama bersama PH yang turut dianggotai DAP.
“Sebab itu PRK Ayer Kuning akan terus dijadikan medan analisis untuk Umno menentukan untung nasib mereka dalam landskap politik tanah air menuju PRU16,” katanya di Facebook.