Muhyiddin langkau MPT untuk lantik Ali, dakwa pemimpin Bersatu

Muhyiddin langkau MPT untuk lantik Ali, dakwa pemimpin Bersatu

Seorang pemimpin Bersatu kata Majlis Tertinggi Bersatu tidak pernah lulus pelantikan Ali Mohamad sebagai timbalan ketua penerangan.

Muhyiddin Yassin Ali Mohamad
Seorang pemimpin Bersatu kritik Presiden Muhyiddin Yassin kerana ‘cipta’ jawatan untuk Ali Mohamad.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mengkritik Presiden Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan Ali Mohamad sebagai timbalan ketua penerangan, mendakwa keputusan itu dibuat secara unilateral atau satu pihak sahaja.

Bercakap dengan syarat tidak dinamakan, pemimpin itu terkejut dengan pelantikan itu kerana Ali sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan ditahan reman.

Pemimpin itu berkata Muhyiddin melangkaui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk melantik Ali, walaupun bekas ahli Umno itu hanya menyertai parti itu pada April tahun lalu.

“MPT Bersatu tidak pernah meluluskan pelantikan ini. Mengapa Muhyiddin beri layanan istimewa?” katanya.

Beliau juga berkata jawatan itu tidak pernah wujud sebelum ini dan nampaknya baru diadakan.

“Tidak pernah ada jawatan ‘timbalan ketua penerangan’ dalam sejarah Bersatu. Jawatan itu dicipta untuk Ali,” katanya kepada FMT.

“Muhyiddin mesti bertanggungjawab kerana bersetuju melantik Ali sebagai timbalan ketua penerangan walaupun umum sedar tentang desas-desus masalah yang dihadapi Ali sebelum pelantikan ini.”

Kritikan ini berlatarkan siasatan membabitkan Ali, yang pernah menjadi timbalan speaker Dewan Negara dari Disember 2020 hingga Mei 2023.

Ali juga pernah menjadi timbalan ketua Umno Melaka, dan bertanding di DUN Sungai Udang pada PRN 2021 namun tewas.

Ali ditahan pada 14 April dan direman hingga 20 April bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut sumber, Ali dipercayai menerima rasuah daripada seorang pemilik syarikat sekitar 2021 hingga 2023, didakwa sebagai balasan kerana memberikan kerja menambak laut di perairan Kota Laksamana.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, dilapor menjelaskan bahawa dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ali itu berlaku ketika beliau masih berada dalam Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.