
“Lazim dianggap, (langkah) memilih mana-mana satu pihak merupakan keputusan atau hasil yang mudah bagi kita. Namun, langkah memilih satu pihak sebenarnya mengubah status quo di rantau ini dan mencetuskan ketegangan geopolitik,” kata Angeline Tan, penganalisis daripada Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia.
“Jadi, itu bukanlah (langkah) yang terbaik untuk Malaysia, saya juga tidak rasa ia baik bagi kestabilan serantau,” katanya dalam wawancara membincangkan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia minggu ini sebagai sebahagian lawatannya ke rantau ini, termasuk Vietnam dan Kemboja, di tengah-tengah perang tarif AS-China.
Tan berkata, walaupun Malaysia seolah-olah lebih cenderung kepada China, tidak semestinya negara ini ‘pro-China’.
“Bersikap mesra terhadap China tidak semestinya bererti kita pro-China,” katanya menambah, hubungan rapat antara kedua-dua negara ini tidak sepatutnya dianggap sebagai jajaran politik mahupun strategik.
“Hubungan ekonomi, politik dan budaya China dengan Malaysia ialah fakta (sejarah). Ia sesuatu yang organik dan semula jadi.”
Tambahnya, China dan Asia Tenggara mempunyai ‘perkongsian yang mendalam dan berfaedah sejak sekian lama.
“Lawatan Xi ini mencerminkan usaha Beijing memperkukuh ‘diplomasi kejiranan’, yang menjadi komponen penting dalam dasar luar China sejak awal 2000an.”
Malaysia sememangnya menjadi rakan kongsi yang berharga bagi China sejak lima dekad lalu. Malaysia ialah negara Asean pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974, semasa kemuncak Perang Dingin.
Malaysia juga menyertakan China dalam proses pelbagai hala berasaskan Asean pada awal 1990an, sekaligus memulakan Dialog China-Asean. Selain itu, Malaysia turut menjadi rakan kerjasama dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), serta menjadi penyokong awal Inisiatif Pembangunan Global (GDI) China.
Dasar berkecuali
Walaupun menjalin hubungan rapat dengan China, Malaysia tetap mengamalkan dasar berkecuali sejak berdekad-dekad lalu dalam menghadapi persaingan antara kuasa besar seperti AS, Rusia dan China.
Pendekatan ini berasaskan Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan) Asean, yang ditandatangani Malaysia ketika ia dibentuk pada 1971.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan China sebagai ‘rakan kongsi yang rasional, kuat dan boleh diharap’ bagi Malaysia, yang akan terus menjadi ‘sahabat sejati China’.
“Sejak hubungan diplomatik dimeterai lebih 50 tahun lalu, hubungan Malaysia-China telah berkembang luas dari segi skop dan mendalam dari segi pengisian,” katanya pada Majlis Jamuan Negara sempena lawatan Xi pada Rabu.
“China kekal menjadi rakan dagangan paling penting bagi Malaysia, dengan kehadirannya terasa dalam nadi pembangunan negara – daripada aliran barangan dan idea sehinggalah kepada transformasi tenaga, prasarana dan inovasi.”
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan nilai jumlah eksport dan import tahun lepas mencecah kira-kira RM480 bilion, menurut data rasmi.
Pada tahun lepas juga, Malaysia menerima 3.29 juta pelancong dari China, peningkatan ketara berbanding 1.47 juta pada 2023, hasil pelaksanaan dasar bebas visa selama 30 hari untuk warga China mulai Disember 2023, serta peningkatan ketersambungan penerbangan antara kedua-dua negara.
Semasa lawatan Xi, kedua-dua negara bertukar 31 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian dua hala, meliputi bidang keselamatan, perdagangan, prasarana, ekonomi digital, pendidikan, dan kerjasama budaya – menandakan kerjasama lanjut dalam pelbagai sektor.