Kebakaran paip gas: Petronas tubuh pasukan petugas bebas

Kebakaran paip gas: Petronas tubuh pasukan petugas bebas

Petronas Gas berkata pasukan itu bantu sediakan garis panduan bagi pastikan ketelusan dan kebebasan berkait insiden itu.

penduduk kebakaran saluran gas Putra Height di Kampung Kuala Sungai Baru
Petronas Gas berkata ia menyumbang lebih RM1.2 juta bantuan kewangan kepada mangsa yang kehilangan keseluruhan dan sebahagian hartanah masing-masing dalam kejadian itu.
KUALA LUMPUR:
Petronas Gas Bhd (PGB) sudah menubuhkan pasukan petugas bebas bagi insiden saluran paip di Putra Heights yang diketuai oleh pengarah bebas bukan eksekutifnya, untuk memastikan standard keselamatan dan integriti tertinggi dalam operasinya.

Dalam satu kenyataan hari ini, PGB berkata pasukan petugas itu akan menyediakan pandangan strategik terhadap proses siasatan selepas insiden, kerja-kerja pemulihan dan pengubahsuaian, keselamatan infrastruktur pengangkutan gas dan perkara lain berkaitan dengan insiden tersebut.

Pasukan petugas itu juga akan menyokong lembaga pengarah dalam menyediakan garis panduan bagi memastikan ketelusan dan kebebasan sepanjang proses tersebut.

“PGB mengiktiraf sepenuhnya peranan kritikal infrastruktur saluran paip gas dalam mengangkut gas asli ke sektor penjanaan tenaga dan perindustrian di Semenanjung Malaysia.

“Kerja pemulihan sedang giat dijalankan di lokasi insiden, termasuk menanam cerucuk kepingan bagi menstabilkan tanah, penggalian tapak dan melaksanakan pelbagai pembaikan,” katanya.

Menurut PGB, syarikat itu amat mengutamakan keselamatan orang awam dan dalam operasinya kerana menyedari kesan mendalam insiden itu, selain memberi tumpuan untuk memulihkan akses kepada bekalan gas.

“Setakat ini, PGB sudah menyumbang lebih RM1.2 juta dalam bentuk bantuan kewangan segera kepada individu dan keluarga yang berdepan dengan kehilangan keseluruhan dan sebahagian hartanah masing-masing, bagi mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh sukar itu.

“Syarikat akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan bagi menentukan punca insiden dan memulihkan saluran paip sambil memastikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada usaha pembinaan semula komuniti oleh kerajaan,” katanya.

Kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada 1 April lalu menyebabkan seramai 111 cedera, 399 kenderaan rosak, manakala 235 rumah terjejas, 87 musnah sepenuhnya dan 148 lagi rosak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.