
Bekas perdana menteri itu berkata, nilai mata wang boleh merosot jika kerajaan cuba menangani inflasi dengan membenarkan gaji naik.
Bagaimanapun, gaji yang lebih tinggi bermakna orang ramai boleh sedikit membeli lebih banyak berbanding apa yang mereka mampu sebelum ini. Lama-kelamaan, kos sara hidup akan meningkat semula kerana kenaikan gaji akan meningkatkan kos pengeluaran.
“Sekarang kita kena mula balik dari awal. Akan ada permintaan untuk gaji dinaikkan lagi,” katanya di platform media sosial, X.
“Jika ini dipersetujui, akan dapat hasil sama, gaji baharu tidak akan meningkatkan kuasa beli tetapi akan meningkatkan kos pengeluaran.”
Mengimbau sejarah, beliau berkata: “Ketika saya masih budak pada 1930an, saya boleh beli sepinggan kecil mee dengan hanya 3-5 sen. Zaman ini, saya perlu bayar sekurang-kurangnya RM3-RM5”, menyifatkannya sebagai susut nilai ringgit sebanyak 1,000%.
Mahathir yang ketika pertama kali menjadi perdana menteri telah menambat ringgit berikutan Krisis Kewangan Asia pada 90an berkata, ‘kebelakangan ini Malaysia kerap meningkatkan gaji minimum’.
Pada Februari, kerajaan menaikkan gaji minimum sebanyak RM200 kepada RM1,700, tiga tahun selepas gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500.
“Kita perlu berhati-hati. Ringgit mungkin mengalami nasib yang sama seperti rupiah Indonesia dan lira Turki.”
Bagaimanapun, Mahathir mengakui bahawa kemerosotan nilai mata wang bukan sahaja disebabkan oleh peningkatan pendapatan untuk menampung kos sara hidup yang lebih tinggi, tetapi juga disebabkan oleh rasuah, pengeluaran wang kertas dan nota mata wang yang mempunyai nilai lebih tinggi, perdagangan dan jualan singkat mata wang, selain banyak faktor lain.