Cubaan Petronas tangguh kes saman oleh Petros didengar minggu depan

Cubaan Petronas tangguh kes saman oleh Petros didengar minggu depan

Mahkamah Tinggi Kuching juga membenarkan kerajaan persekutuan dan Sarawak ambil bahagian dalam prosiding.

kuching
Petros mahu halang Petronas daripada guna RM7.96 juta yang diterima di bawah jaminan bank. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan 23 April untuk mendengar permohonan Petronas yang mahu menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) terhadap syarikat minyak dan gas negara itu tahun lepas.

Saman oleh Petros itu bertujuan untuk menghalang Petronas daripada menggunakan dana sebanyak RM7.95 juta yang diterima di bawah jaminan bank yang sebelum ini diberikan oleh Petros berhubung pembekalan gas. Petros berhujah permintaan Petronas supaya pembayaran dibuat di bawah jaminan bank adalah “tidak wajar” atau “menyalahi undang-undang”.

Petronas bagaimanapun mahu menangguhkan perbicaraan kes saman oleh Petros sehingga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesaikan suatu kes berkaitan, oleh Shell MDS (M) Sdn Bhd terhadap kedua-dua Petronas dan Petros. Saman oleh Shell MDS itu bertujuan untuk menentukan yang mana antara dua syarikat itu patut menerima bayaran bagi bekalan gas.

Pada Rabu, mahkamah Kuching membenarkan kerajaan persekutuan dan Sarawak untuk mengambil bahagian dalam prosiding sebagai ‘amici curiae’ (sahabat mahkamah), menurut Utusan Borneo.

Pesuruhjaya Kehakiman Faridz Gohim Abdullah juga menangguhkan pendengaran substantif bagi kes saman oleh Petros dan memberikan kepada kedua-dua kerajaan tempoh sehingga 30 April untuk memfailkan hujah bertulis bagi menjawab pelbagai isu perlembagaan dan perundangan yang berkaitan.

Faridz juga berkata beliau akan mendengar permohonan Petronas untuk menangguhkan perbicaran kes saman oleh Petros sebelum menetapkan tarikh untuk pendengaran substantif bagi kes saman oleh Petros.

Petronas diwakili oleh Alex Ngu, manakala Sim Hui Chuang mewakili Petros. Bekas peguam besar Sarawak, JC Fong, mewakili kerajaan negeri manakala penasihat undang-undang kanan persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, mewakili kerajaan persekutuan.

Petros mahu injunksi sementara

Sementara itu, Petros mempunyai rayuan yang belum selesai di Mahkamah Rayuan berhubung keengganan Faridz menghalang Petronas daripada menerima dana di bawah jaminan bank pada Oktober tahun lepas.

Faridz memutuskan bahawa permohonan injunksi oleh Petros itu telah menjadi ‘lewah’ kerana Maybank Islamic Berhad telah membuat pembayaran jaminan bank kepada Petronas.

Petros memfailkan saman terhadap Petronas pada 15 Okt 2024.

Syarikat minyak Sarawak itu pada masa yang sama memohon injunksi ‘ex-parte’ interim untuk menghalang Petronas daripada mendapatkan pembayaran itu dan menerima wang berkenaan di bawah jaminan bank.

Pada 21 Okt, Faridz menolak permohonan itu, mengatakan tidak ada keperluan baginya untuk membincangkan merit tuntutan Petros kerana permohonan injunksi ini tidak lagi relevan disebabkan oleh peristiwa susulan.

Beliau menjelaskan bahawa pada masa permohonan ‘ex-parte’ Petros ini muncul untuk dibicarakan pada 18 Okt, Maybank sudah membuat pembayaran kepada Petronas.

“Berdasarkan fakta ini, saya berpandangan bahawa permintaan untuk menghalang defendan (Petronas) daripada mendapatkan atau menerima bayaran jaminan bank ini telah menjadi lewah,” kata Faridz dalam penghakiman bertulis bertarikh 14 Jan.

Faridz juga berkata permohonan Petros untuk menghalang Petronas daripada menggunakan dana yang diterima tiada merit.

“Saya mendapati adalah tidak munasabah untuk memerintahkan sedemikian. Bagaimana wang (yang diterima di bawah jaminan bank) boleh diasingkan daripada dana lain milik defendan? Sekiranya pun boleh dilakukan, ia tidak akan memenuhi tujuan memelihara kedudukan kewangan plaintif sepertimana sebelum jaminan bank dibayar.

“Tambahan pula, saya cenderung untuk bersetuju dengan peguam defendan bahawa defendan, selaku sebuah syarikat besar, tidak mempunyai sebab mengapa ia tidak dapat membayar balik jumlah jaminan bank atau wang yang telah digunakan jika diperintahkan sedemikian oleh mahkamah,” katanya.

Petros memperoleh jaminan bank ke atas sejumlah RM7,955,208.28 pada tarikh 29 Dis 2023, sebagai mematuhi terma Perjanjian Jualan Gas Sarawak (SGSA) yang dimeterai dengan Petronas.

Jaminan itu kekal sah dari 1 Jan hingga 31 Dis 2024.

Pada 11 Sept tahun lepas, Petronas menuntut bayaran RM17,421,155.95 daripada Petros untuk gas yang dibekalkan di bawah SGSA dan satu lagi perjanjian pembekalan gas.

Petronas kemudian mengeluarkan surat kedua kepada Petros bertarikh 4 Okt 2024 meminta bayaran sebanyak RM28,136,403.08.

Pada 14 Okt 2024, Maybank memaklumkan Petros bahawa Petronas telah membuat suatu keputusan berhubung jaminan bank tersebut, dan Maybank berkata ia mahu melunaskan jaminan itu.

Ketika perbicaraan, Petros berhujah bahawa Petronas perlu dihalang daripada menggunakan dana itu sehingga mahkamah menentukan sama ada keputusan Petronas itu salah. Faridz bagaimanapun tidak yakin injunksi yang dimohon itu suatu keperluan.

“Saya berpendapat tiada lagi persoalan serius yang perlu dibicarakan pada peringkat ini,” kata penghakiman itu.

Beliau juga memutuskan bahawa imbangan keselesaan memihak kepada Petronas, lalu menolak permohonan untuk injunksi interim bersekali dengan kos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.