Bersatu nafi Muhyiddin lantik Ali

Bersatu nafi Muhyiddin lantik Ali

Bagaimanapun Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz tidak menyatakan siapa bertanggungjawab atas pelantikan itu.

Tun Faisal Ismail
Tun Faisal Ismail Aziz berkata pelantikan Ali Mohamad tidak perlu melalui MPT kerana tiada syarat seperti itu dalam Perlembagaan Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu menafikan laporan Presiden Muhyiddin Yassin bertanggungjawab melantik Ali Mohamad sebagai timbalan ketua penerangannya.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz tidak menyatakan siapa bertanggungjawab atas pelantikan itu.

Tun Faisal juga berkata, pelantikan Ali tidak perlu melalui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kerana tiada syarat seperti itu dalam Perlembagaan Bersatu.

Beliau berkata, sumber yang dipetik FMT adalah ‘teruk dan tidak boleh dipercayai’.

“Kenapa perlu ambil maklumat dari sumber yang tidak dikenali, diragui dan tidak membuat semakan terlebih dahulu dengan saya, ketua penerangan parti,” katanya di Facebook.

Kenyataan Tun Faisal menyusul laporan FMT memetik sumber dalaman parti yang mendakwa pelantikan Ali dibuat secara unilateral.

Menurut sumber, Muhyiddin melangkaui MPT Bersatu untuk melantik Ali, walaupun bekas ahli Umno itu hanya menyertai parti tersebut pada April tahun lalu.

Kritikan itu berlatarkan siasatan membabitkan Ali, yang pernah menjadi timbalan speaker Dewan Negara dari Disember 2020 hingga Mei 2023. Sebelum menyertai Bersatu tahun lalu, beliau adalah ketua Umno Tangga Batu.

Beliau mewakili Barisan Nasional di Sungai Udang pada PRN Melaka 2021, namun kalah kepada calon Perikatan Nasional, Aleef Yusof dengan majoriti 530 undi.

Ali ditahan pada 14 April dan direman hingga 20 April bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut sumber, Ali dipercayai menerima rasuah daripada seorang pemilik syarikat sekitar 2021 hingga 2023, didakwa sebagai balasan kerana memberikan kerja menambak laut di perairan Kota Laksamana.

Susulan itu, Tun Faisal dilapor menjelaskan bahawa dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ali berlaku ketika beliau masih berada dalam Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.