Anwar kecam kenyataan xenofobia pengulas politik AS

Anwar kecam kenyataan xenofobia pengulas politik AS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sifatkan kenyataan Bill O’Reilly mencerminkan sifat perkauman dan Islamofobia bekas hos Fox News itu.

anwar ibrahim n Bill O’Reilly
Anwar Ibrahim berkata kenyataan Bill O’Reilly menunjukkan cara pemikirannya terperangkap dan masih bawah beban imperialisme dan kolonialisme.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam seorang pengulas politik konservatif dari Amerika Syarikat kerana mempersendakan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja.

Beliau berkata, kenyataan Bill O’Reilly mencerminkan xenofobia, perkauman dan Islamofobia bekas hos Fox News itu.

“Itu pandangan melampau yang dipenuhi dengan keangkuhan dan kejahilan, dengan andaian bahawa kumpulan atau negaranya sahaja yang berjaya.

“Jelas beliau langsung tidak memahami Asia, Asean atau perkembangan semasa di rantau ini,” katanya selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Kewangan.

Dalam klip tular di media sosial, O’Reilly mempersoalkan nilai ekonomi hubungan Beijing dengan negara Asia Tenggara.

“Hey, Presiden Xi, biar saya berterus-terang. Negara-negara itu langsung tiada duit. Mereka tak boleh bantu awak. Mereka takkan beli barangan awak sebab mereka tak ada duit.

“Kami yang ada duit, kami yang beli barang. ‘Melayu’ itu takkan beli barang awak. Mereka tak ada duit,” katanya, menggunakan istilah etnik untuk merujuk kepada semua rakyat Malaysia.

Xi mengunjungi Malaysia pada 15 hingga 17 April sebagai sebahagian lawatan serantau, di tengah-tengah perang perdagangan dengan AS berkenaan tarif.

Anwar turut menegaskan kenyataan O’Reilly bersifat sempit dan lapuk.

“Inilah kita rujuk dalam bidang sains sosial sebagai cara pemikiran terperangkap – masih membawa beban imperialisme dan kolonialisme,” katanya menggesa rakyat Malaysia tidak terlalu mengambil berat terhadap pandangan sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.