Tak puas hati barang disita, penguat kuasa MBI ditumbuk

Tak puas hati barang disita, penguat kuasa MBI ditumbuk

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat dan cuba menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas.

Tangkap layar video tular menunjukkan kekecohan dipercayai berlaku di sebuah restoran di Taman Rasi Jaya, Menglembu, pagi semalam.
PETALING JAYA:
Operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sebuah restoran di Menglembu, Perak bertukar kecoh selepas seorang anggotanya didakwa ditumbuk individu cuba menghalang tindakan sitaan.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata seorang anggota penguat kuasa MBI berusia 40 tahun membuat laporan pada 6.43 petang semalam mendakwa menjadi mangsa kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati provokasi bermula apabila seorang pekerja restoran tidak berpuas hati dengan penyitaan kerusi dan meja premis itu, susulan aduan Jabatan Kesihatan MBI.

“Suspek mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas rasmi.

“Pengadu turut memaklumkan salah seorang anggota penguat kuasa MBI ditumbuk suspek,” katanya menurut Harian Metro.

Abang Zainal Abidin berkata, keterangan beberapa saksi diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 dan 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat supaya menghubungi Sheikh Fateeha Iman di talian 010-2908095 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, beberapa video memaparkan kekecohan dipercayai berlaku di sebuah restoran di Taman Rasi Jaya, Menglembu, pagi semalam tular di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.