Pengguna FB Cayson Goh nafi hina Agong

Pengguna FB Cayson Goh nafi hina Agong

Cayson Goh dakwa nama dan gambarnya digunakan untuk membuka akaun baharu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Warganet dan beberapa personaliti antaranya Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan hantaran sebuah akaun Facebook bernama Cayson Goh yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
PETALING JAYA:
Seorang pengguna Facebook dikenali Cayson Goh mendakwa nama dan gambarnya digunakan untuk membuka akaun baharu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena lawatan Presiden China Xi Jin Ping.

Menafikan membuat hantaran jelik itu, dia mendakwa pernah menjadi mangsa pada Mac lalu apabila gambarnya dieksploitasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk mencipta video mempromosikan laman sesawang judi.

Menurut Cayson, dia membuat laporan terhadap kejadian itu dan menjelaskan hanya mempunyai satu akaun yang disahkan oleh Facebook.

“Tapi kali ini mereka orang over sangat (melampau), memang biadab, sampai menggunakan gambar saya membuka akaun FB dan menghina baginda YDP yang paling kita hormati.

“Polis pun dah mula siasat dan harap mereka semua ini dituduh di mahkamah nanti,” katanya di Facebook.

Tangkap layar penjelasan Cayson Goh menerusi akaun disahkan oleh Facebook.

Cayson turut memaklumkan berasal dari Johor dan bangga menjadi bangsa Johor.

Terdahulu, warganet dan beberapa personaliti antaranya Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan hantaran akaun Facebook itu yang didakwa menghina Sultan Ibrahim.

Hantaran itu berkait lawatan Xi ke Malaysia dari Selasa hingga hari ini.

Akmal mendesak polis menyiasat hantaran itu dan menggesa hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan raja, agama, dan kaum (3R).

“Baru boleh mendidik dan memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.