NGO lapor polis dakwa Warisan fitnah Hajiji, kerajaan Sabah

NGO lapor polis dakwa Warisan fitnah Hajiji, kerajaan Sabah

Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia akan terus buat laporan polis sehingga pihak bertanggungjawab didakwa di mahkamah.

zulkarnain mahdar
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia Zulkarnain Mahdar (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat NGO itu di Balai Polis Karamunsing di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar G57)
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan NGO membuat lima laporan polis terhadap Warisan kerana didakwa menyebarkan fitnah terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor dan kepimpinan kerajaan negeri.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Zulkarnain Mahdar berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Karamunsing di Kota Kinabalu pada 1 tengahari tadi

Katanya, laporan itu berkait rakaman suara menyerupai Hajiji kononnya mengesahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak mengambil tindakan terhadap Adun yang dikaitkan skandal perlombongan Sabah.

Zulkarnain berkata laporan lain berkait tuduhan Hajiji membeli kondominium RM8 juta, pemberian lesen pembalakan kepada kroni dan Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman.

Laporan polis juga dibuat berkait dakwaan kerajaan negeri membeli lapan kenderaan jenis Land Cruisers melebihi harga pasaran termasuk nombor pendaftaran kenderaan bernilai hampir RM4 juta

“Untuk rekod G57 ketika ini mengumpul hampir 35 bukti berunsur fitnah yang disasarkan ke atas Hajiji termasuk kerajaan negeri sejak Februari hingga 17 April,” katanya dalam kenyataan.

Zulkarnain berkata G57 akan terus membuat laporan polis sehingga semua penyebar fitnah dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan.

“G57 amat kesal dengan cara jentera Warisan berkempen ketika ini dan rakyat akan tetap menolak parti itu dalam PRN tidak lama lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.