
Penanggung Tugas-Tugas Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Ahmad Taufik Sulaiman, berkata, wanita terbabit diberkas sebaik tiba di negara ini kira-kira 7 malam dengan menaiki penerbangan antarabangsa dari timur Afrika.
“Dia ditahan untuk pemeriksaan selepas imej imbasan ke atas beg miliknya menunjukkan objek dan imej mencurigakan, disyaki mengandungi dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bagasi wanita itu, pihak berkuasa menemukan 16 bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis kokain,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah itu cuba diseludup masuk untuk tujuan pengedaran dalam negara.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan kokain dalam ruang rahsia beg kraf tangan dan dijahit rapat bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.