
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata kontroversi itu wajar ditangani dengan seimbang rasional tanpa membuat sebarang kesimpulan melulu termasuk seolah-olah tindakan terbabit sengaja dibuat.
Menurutnya, media berbahasa Cina itu telah mengakui kesalahan tidak disengajakan itu disusuli permohonan maaf selain membuat pembetulan.
“Sekiranya kesilapan itu tidak disengajakan, kita harus melangkah ke depan dengan menerima permohonan maaf dengan niat baik berkenaan.
“Tiada manfaat mengambil tindakan melampau yang boleh menjejaskan kebebasan media atau mengganggu ekosistem media secara tidak perlu,” katanya dalam kenyataan.
Sin Chew Daily dalam muka depannya kelmarin menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dan telah memohon maaf di atas kesilapan itu.
Ramasamay berkata dalam kes Kwong Yit Poh yang menyiarkan imej itu di Facebooknya kelmarin, kelihatan lambang anak bulan masih ada tetapi dilindungi oleh imej lain.
Namun beliau menyifatkannya satu kesalahan ketara dan cuai.
Beliau berkata sukar mempercayai dua akhbar sudah lama bertapak dan berwibawa itu akan sengaja mengetepikan simbol sepenting itu dan kekecewaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim adalah difahami.
Ramasamy juga mempersoalkan dan menganggap tidak wajar untuk mengenakan hukuman berat diambil termasuk siasatan dalaman dan penutupan operasi syarikat.
“Kita hidup dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi dan dalam persekitaran pantas seperti ini, kesilapan manusia boleh berlaku,
“Paling penting bagaimana kesilapan itu ditangani, dalam kes ini kesilapan telah diakui, permohonan maaf dibuat dan langkah pembetulan sudah dibuat,” katanya.
Siasatan terhadap Sin Chew dibuat mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula menyiasat Kwong Wah Yit Poh di bawah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.