Gangguan air di Unimap bukan berpunca operator negeri

Gangguan air di Unimap bukan berpunca operator negeri

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara berkata siasatan mendapati ia berpunca daripada sistem perpaipan dalaman di premis universiti berkenaan.

paip
Sebelum ini, media melaporkan gangguan bekalan air di beberapa blok kediaman dan fasiliti di Kompleks Uniciti Unimap menyebabkan pelajar mengadu berdepan kesulitan dalam menjalani rutin harian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menegaskan gangguan bekalan air dilaporkan di Kompleks Uniciti, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Sungai Chuchuh bukan berpunca daripada masalah tekanan paip utama dibekalkan operator air negeri, Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).

Sebaliknya, SPAN dalam kenyataan berkata gangguan bekalan air berpunca daripada sistem perpaipan dalaman di premis universiti berkenaan.

SPAN menjelaskan, keseluruhan sistem bekalan air selepas meter pengguna adalah bawah tanggungjawab pemilik premis atau pemaju untuk diselenggara dan dibaiki.

“Siasatan di lokasi dijalankan SAP pada 11 April lalu dan pertemuan lanjut dengan pihak pengurusan Unimap pada 14 April mendapati tekanan bekalan air selepas meter utama (meter pukal) adalah mencukupi dan melebihi paras minimum yang ditetapkan.

“Masalah gangguan bekalan air ini berpunca daripada sistem perpaipan dalaman di premis universiti berkenaan dan bukannya berpunca daripada operator air,” kata kenyataan itu.

SPAN berkata, Kompleks Uniciti Unimap menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Timah Tasoh melalui paip utama SAP bersaiz 315mm jenis HDPE.

Katanya, gangguan bagaimanapun hanya melibatkan sebahagian daripada enam blok bangunan di kompleks berkenaan, yang disahkan berpunca daripada masalah sistem dalaman dibina oleh pihak pemaju.

“Dalam usaha mengurangkan beban ditanggung penghuni yang terjejas, SAP mengambil beberapa tindakan segera termasuk menyediakan pintasan sementara tanpa melalui meter utama, menghantar bekalan air menggunakan lori tangki, serta mengepam air ke dalam tangki premis universiti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan gangguan bekalan air di beberapa blok kediaman dan fasiliti di Kompleks Uniciti Unimap, menyebabkan pelajar di institusi pendidikan itu mengadu berdepan kesulitan dalam menjalani rutin harian.

SPAN menegaskan, pihaknya akan terus memantau perkembangan isu berkenaan dan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.