
Peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali, berkata satu notis tuntutan telah dikeluarkan berkait kenyataan Puad itu pada 12 April lalu.
“Pemadaman penulisan dan/atau penerbitan itu tanpa sebarang permohonan maaf kepada Mahathir perlu diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semakan FMT mendapati kenyataan itu tidak lagi terdapat dalam akaun media sosial Puad.
Rafique berkata Mahathir menuntut Puad mengadakan sidang media terbuka di Bangunan Umno dan membuat pengakuan bahawa kenyataan fitnah tersebut adalah kesilapannya.
“Dalam sidang media itu, Puad hendaklah menyatakan bahawa kenyataan yang menuduh Mahathir sebagai seorang yang pecah amanah adalah tidak benar sama sekali.
“Puad juga dituntut membuat permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat termasuk aku janji bahawa beliau atau ejen atau pihak berkaitan tidak membuat apa-apa kenyataan lanjutan yang menyentuh berkenaan reputasi dan integriti Mahathir,” katanya.
Katanya, permohonan maaf dan akujanji tersebut hendaklah tertakluk kepada kepuasan dan/atau dipersetujui oleh anak guam kami, dan dilengkapkan tempoh tujuh hari daripada tarikh notis tuntutan.
“Mahathir merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan suaimanfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain,” katanya.
Semalam, Mahathir yang juga bekas presiden Umno, menjelaskan beliau telah melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah ke atas sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi di Kuala Lumpur kepada Umno pada 2015.
Katanya, saman pemula difailkan Umno untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bagi memindahkan hak milik tanah tersebut tidak melibatkan dirinya.
Saman pemula berkenaan difailkan oleh Setiausaha Kerja Umno, Sumali Reduan, pada 6 Mac lalu, dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dinamakan sebagai defendan tunggal.
Presiden Umno Zahid Hamidi pada Jumaat lalu berkata, terdapat seorang individu yang masih belum menandatangani dokumen pelepasan amanah terhadap aset parti, manakala yang lain telah berbuat demikian.
Tanah berkenaan, iaitu Geran 78154, Lot 40, Seksyen 51, Kuala Lumpur, didaftarkan atas nama empat pemegang amanah – Mahathir, Musa Hitam, Allahyarham Daim Zainuddin dan Allahyarham Sanusi Junid – selaras dengan Fasal 27.1 Perlembagaan Umno dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.