
Bulan lalu, bercakap kepada FMT wakil rakyat bebas itu memaklumkan akan bertanding di empat atau lima kerusi bagi mencabar parti utama dalam usahanya menawarkan alternatif kepada rakyat.
Dalam video dimuat naik di Facebook, Verdon berkata perkembangan baharu itu susulan maklum balas dan saranan diterima daripada rakan seperjuangan di seluruh negeri yang berharap gerakan itu tidak hanya terhad kepada beberapa kerusi.
“Mereka bertanyakan mengapa saya hanya fokus empat atau lima DUN bawah gelombang hitam, namun saya terangkan itu adalah kapasiti saya sebagai individu (bukan parti).
“Setelah berbincang dan mendengar pandangan mereka, saya tertarik bahawa gelombang hitam ini perlu dikembangkan di seluruh Sabah,” katanya.
Setakat ini, menurutnya sekurang-kurangnya 10 kerusi sudah dikenal pasti untuk ditandingi oleh rangkaian calon bebas yang bernaung bawah semangat dan ideologi sama.
“Saya telah mengenal pasti lebih kurang 10 hingga 15 kerusi yang berpotensi untuk kita tandingi berdasarkan kepada karakter atau kriteria calon yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata, gerakan gelombang hitam mampu mewujudkan blok kuasa ketiga dalam landskap politik Sabah dengan mengambil kira dinamik politik semasa.
“Walaupun gelombang hitam bukan sebuah parti tetapi kita perlu berdiri bawah satu prinsip atau ideologi dan juga manifesto sama,” katanya.
Pada PRN Sabah 2020, tiga daripada 56 calon bebas menang iaitu di Kuamut (Masiung Banah), Pitas (Ruddy Awah) dan Kemabong (Rubin Balang). Semuanya menyokong pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.
November tahun lalu, Hajiji dipetik berkata PRN Sabah boleh diadakan bila-bila masa tahun ini susulan penggal pentadbirannya tamat pada Oktober.
DUN Sabah mempunyai 73 kerusi yang bakal menjadi rebutan parti bertanding.