
Mengulas penahanan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Mohamad Ali Mohamad, Yadzil mendakwa mustahil hanya ‘seekor jerung’ terbabit dan tiada pembabitan daripada kerajaan Melaka.
Beliau berkata bekas timbalan speaker Dewan Negara itu secara tiba-tiba disiasat apabila beliau tidak lagi bersama Umno dan kini menyertai Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, agak pelik apabila Mohamad Ali yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan negeri dan pusat disiasat sedangkan ada pihak boleh memberi kelulusan.
“Mustahil hanya ‘seekor jerung‘ terlibat. Mustahil pihak kerajaan negeri pada ketika itu tidak terlibat sama sekali,” kata Adun Bemban itu dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa ketua menteri Melaka ketika itu Sulaiman Md Ali tidak disiasat selain beberapa individu.
FMT tidak menamakan nama beberapa individu terbabit kerana belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa.
“Saya ingatkan SPRM menyiasat perkara ini dengan telus dan tuntas.
“Pastikan semua pihak terbabit terdiri pemberi, penerima dan individu bersubahat disiasat serta dan didakwa bersama dengan adil tanpa prejudis,” katanya.
Semalam, peguam Rashid Ali mengesahkan Mohamad Ali direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah.
Sebelum menyertai Bersatu tahun lalu, beliau adalah ketua Umno Tangga Batu.
Memetik sumber, media melaporkan siasatan dibuat susulan aduan rasuah dalam bentuk empat kenderaan mewah dan wang tunai berjumlah RM300,000.
Sumber berkata, suspek yang berjawatan pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah itu daripada seorang pemilik syarikat bergelar ‘Datuk’ sekitar 2021 hingga 2023.
Rasuah itu sebagai balasan kerana memberikan kerja menambak laut seluas kira-kira 100 ekar di perairan Kota Laksamana, Melaka.