
Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menegur KKM kerana berdiam diri mengenai perkara itu kerana tarikh akhir penguatkuasaan dasar iaitu 1 Mei semakin hampir.
Presiden Dr Shanmuganathan TV Ganeson berkata KKM sekurang-kurangnya perlu menjelaskan pendirian berkenaan kawal selia dalam perkara itu, dan melindungi bidang kuasanya di bawah Akta Racun dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta.
“Pendirian perlu dinyatakan sebelum berlaku kerosakan lanjut. Berdiam diri bukan sahaja janggal — ia berbahaya.
“Pertindihan bidang kuasa ini berisiko menetapkan suatu duluan di mana penguatkuasa bukan perubatan menentukan harga perkhidmatan perubatan: tanpa nuansa, konteks klinikal atau kebertanggungjawaban terhadap hasilnya ke atas pesakit,” katanya.
Menurut Shanmuganathan, bahawa di bawah arahan KPDN, klinik dijangka melabelkan harga ubat seolah-olah ia barangan statik, walaupun harga ubat tertakluk pada turun naik.
“Ubat-ubatan bukanlah barangan runcit yang stabil hayatnya. Harganya dipengaruhi oleh budi bicara klinikal, faktor khusus pesakit dan kos pembekal yang semakin meningkat — realiti yang akan diburukkan lagi oleh kenaikan tarif ke atas farmaseutikal yang diimport baru-baru ini, diagnostik dan bahan guna perubatan.”
Shanmuganathan berkata Malaysia mengimport lebih RM11 bilion produk farmaseutikal pada 2024, yang mana hampir 10% diperoleh daripada Amerika Syarikat, menurut data Comtrade PBB.
“Tarif itu kini mendedahkan pengamal am kepada kos input yang tidak dapat diramalkan. Namun di bawah arahan KPDN, klinik dijangka akan melabelkan harga ubat seolah-olah ia barangan statik.
“Ketakpadanan ini mewujudkan herotan: sama ada klinik akan meninggikan harga bagi menampung turun naik atau merendahkan harga dan serap kerugian yang tidak mampan. Dalam kedua-dua senario, pesakit rugi,” katanya.