MBPP keluar surat tunjuk sebab kepada penganjur Songkran

MBPP keluar surat tunjuk sebab kepada penganjur Songkran

Timbalan Ketua Menteri Mohamad Abdul Hamid berkata penganjur ada lesen hiburan tetapi langgar syarat ditetapkan.

MOHAMAD ABDUL HAMID
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid bersetuju dengan mufti negeri yang yang menegaskan bahawa umat Islam dilarang terlibat dalam pesta Songkran, sama ada secara langsung atau tidak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada penganjur festival Songkran yang diadakan di Batu Ferringhi baru-baru ini kerana melanggar syarat lesen hiburan, kata Timbalan Ketua Menteri Mohamad Abdul Hamid.

Mohamad mengesahkan penganjur mempunyai lesen hiburan yang sah tetapi tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

“Tindakan susulan sedang diambil terhadap penganjur terbabit.

“MBPP akan mengambil tindakan, termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada penganjur kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang Sukki Othman menggesa tindakan tegas diambil selepas beberapa wanita dilaporkan menari dalam keadaan separuh bogel di festival itu.

Menurut laporan Berama, festival itu diadakan kira-kira 50m dari sebuah masjid dan mencetuskan bantahan selepas video persembahan tersebut tular di media sosial.

Sukki berkata persembahan itu mencemarkan imej pusat pelancongan popular itu dan melanggar sensitiviti agama dan nilai budaya Malaysia.

Pengerusi Masjid Ar-Rahman Mosque di Batu Ferringhi, Ismail Din turut mengecam penganjuran acara itu dan berkata pihak masjid tidak dimaklumkan mengenai pesta Songkran itu dan hanya mengetahui perkara tersebut menerusi video tular.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, beliau berpandangan selari dengan kenyataan mufti yang menegaskan bahawa umat Islam dilarang untuk mengambil bahagian dalam sambutan Songkran, sama ada secara langsung atau tidak.

Ketua Polis Timur Laut Rozak Muhammad juga mengesahkan festival itu yang diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu itu tidak mempunyai sebarang permit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.