
Permohonan semakan kehakiman itu bagi membatalkan tindakan LHDN yang mengeluarkan notis berkenaan melibatkan lebih RM5 juta bagi tahun 2017 hingga 2019.
Hakim Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Nizamuddin Abdul Hamid mewakili Mukhriz sebagai pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan Mohd Harris Hanapi yang mewakili ketua pengarah Hasil Dalam Negeri selaku responden pertama.
“Permohonan penggantungan (stay) dibenarkan,” kata hakim itu pada prosiding yang turut dihadiri Peguam Persekutuan Ng Wee Li yang mewakili Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dan kerajaan sebagai responden kedua dan ketiga.
Terdahulu, Harris berhujah LHDN membantah permohonan itu atas alasan sekiranya permohonan penggantungan ini dibenarkan, ia memberi kesan, apabila pembayar cukai tidak perlu membayar cukai di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Bagaimanapun Nizamuddin berkata tiada apa-apa peruntukan di dalam Akta Cukai Pendapatan yang menghalang mahkamah untuk membenarkan suatu penggantungan.
Pada 20 Dis tahun lepas, Mukhriz, 60, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan ketua pegawai eksekutif atau ketua pengarah Hasil Dalam Negeri, menteri kewangan dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.
Presiden Pejuang itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.
Mukhriz juga memohon deklarasi bahawa responden kedua (Anwar) telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan memohon deklarasi responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Turut dipohon satu perintah penggantungan terhadap Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan penguatkuasaan sijil sehingga pelupusan permohonan semakan kehakiman itu.