Kilang simen Tongod diteruskan, menteri Sabah nafi ada aktiviti pembalakan baharu

Kilang simen Tongod diteruskan, menteri Sabah nafi ada aktiviti pembalakan baharu

Menteri dimaklumkan oleh syarikat bahawa projek diteruskan selaras perancangan pelaburan dan kerjasama yang telah dipersetujui.

dun sabah
DUN Sabah diberitahu bahawa syarikat terbabit dalam pembinaan kilang simen di Tongod, Kinabatangan tidak tarik diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarikat terbabit dalam pembinaan kilang simen di Tongod, Kinabatangan tidak menarik diri dan projek itu diteruskan seperti dirancang, kata menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan Sabah.

Phoong Jin Zhe berkata Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS) memaklumkan projek tetap diteruskan selaras perancangan pelaburan dan kerjasama yang telah dipersetujui.

“Pada masa ini BCS sedang menunggu laporan penilaian alam sekitar sebelum pembinaan sepenuhnya kilang simen dapat dimulakan. Bagaimanapun kerja tanah ditapak projek telah diluluskan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah.

“Pada masa sama Sinoma Industry Engineering Sdn Bhd, syarikat pengeluar simen terbesar di dunia akan menjalankan pembinaan kilang ini secara teliti sebab lesen pengilang telah pun diluluskan pada 2023,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di DUN Sabah.

Phoong menjawab Bung Moktar Radin (BN-Lamag) yang meminta penjelasan mengenai status projek pembinaan kilang simen yang dirancang di kawasan hutan di Tongod.

Semasa perbahasan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 14 April lalu, Bung turut membantah cadangan pembinaan kilang yang tiada akses jalan raya, tiada bekalan elektrik dan air.

Menurut Bung, beliau dimaklumkan syarikat berkolaborasi dengan kerajaan negeri sudah mengundur diri, sambil menambah timbul dakwaan berlakunya aktiviti mengambil kayu balak.

Phoong berkata pada masa ini masih terdapat stok balak lama yang belum dikeluarkan kerana masih dalam proses pembayaran cukai.

“Operasi pembalakan aktif di kawasan tersebut telah pun diberhentikan sepenuhnya sejak 2023 dan tiada lagi aktiviti pembalakan atau penebangan baharu dijalankan sejak itu,” katanya.

Tambahnya, kawasan berkenaan dipilih sebagai pembinaan kilang simen disebabkan lokasi berdekatan bahan mentah, antaranya seperti batu kapur, batu pasir dan tanah liat

“Konsep pembangunan kilang berdekatan bahan mentah berpotensi mengurangkan impak alam sekitar dan meminimumkan penggunaan prasarana jalan raya kerana pengurangan pergerakan logistik kerana hampir keseluruhan keperluan bahan mentah boleh diperolehi di lokasi tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.