
Indera Bakti Ariffin berkata pengurusan penamatan kontrak dan pengambilan pekerja dibuat secara teratur, menerusi notis pemberitahuan pada Disember lalu yang dibuat mengikut format Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Menurutnya, notis itu memberitahu Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) tidak lagi diberikan konsesi oleh kerajaan untuk mengendalikan bangunan itu.

“LSH Service Master Sdn Bhd (anak LSH Capital) kemudiannya memberikan tawaran baharu dan saya orang pertama menerimanya.
“Saya lengkapkan borang dan serah semula, namun ada sedikit masalah dari segi data peribadi…saya tidak dibenarkan mengambilnya dari syarikat lama,” katanya menerusi video di TikTok.
Carian di laman LinkedIn menunjukkan Indera Bakti bertugas sebagai pengurus perkhidmatan pelanggan di Menara Kuala Lumpur sebelum ini. Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan tugas baharunya dalam video di media sosialnya.
Rabu lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd — syarikat induk kepada MKLSB — mendakwa bahawa LSH Capital telah gagal memenuhi permintaannya untuk mengambil alih lebih 200 orang pekerja.
Sebaliknya, Hydroshoppe mendakwa LSH Capital telah melantik kakitangan secara terpilih yang memberi kesan negatif kepada pekerja yang kebanyakannya Bumiputera selain menawarkan manfaat lebih rendah.
Indera Bakti juga menggesa isu Bumiputera yang dikaitkan dalam isu terbabit tidak dibangkitkan sehingga menimbulkan polemik dan mengelirukan orang ramai.
“Tak kira mereka India, Cina atau Melayu, mereka tetap rakyat Malaysia dan bayar cukai.
“Mereka juga bayar gaji, saya minta hentikan semua (dakwaan berkait syarikat Bumiputera atau sebaliknya),” katanya.
Minggu lepas, anak syarikat LSH Capital, LSH Service Master, menandatangani perjanjian pajakan dengan pesuruhjaya tanah persekutuan.
Perjanjian berkuat kuasa 1 April lalu hingga 31 Mac 2045 itu memberi syarikat itu hak ke atas tanah seluas kira-kira 4ha (10 ekar), termasuk tapak Menara KL, Tower Terrace dan kawasan bersebelahannya.
Kementerian Komunikasi menasihatkan semua pihak terlibat dengan pertikaian mengenai pengendalian Menara Kuala Lumpur agar tidak mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang boleh ganggu proses perundangan yang sedang berjalan.