
Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara berkenaan.
“Ya, kita ada terima laporan polis dan kita buka siasatan,” katanya.
Menurutnya, siasatan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dibuka susulan tiga laporan diterima.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata pihaknya sudah memanggil Sin Chew Daily pada hari ini bagi tujuan siasatan dan surat tunjuk sebab juga diserahkan.
Katanya, KDN memulakan siasatan serta merta mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan teknikal tidak disengajakan kerana memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan akhbar itu semalam.
Ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap yang diletakkan bersebelahan bendera China tular di media sosial, dengan banyak pihak menyuarakan rasa tidak puas hati.
Terdahulu, Pemuda PAS turut menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap akhbar berkenaan kerana kesalahan itu cubaan halus untuk menghapuskan identiti kebangsaan dan mengguris maruah negara.
Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata permohonan maaf bukan tiket terlepas hukuman.