
Dua lelaki dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan di sekitar Bukit Bunga, Tanah Merah kira-kira 1.30 tengah hari semalam ketika Ops Tiris oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata dua lelaki itu ditahan ketika cuba melepasi kawalan serta pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga menuju ke Thailand menggunakan kenderaan tempatan diubah suai pada bahagian tangki minyak.
“Penahanan suspek itu dibuat susulan pemantauan yang mendapati ada kegiatan mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar kawasan terbabit,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua kenderaan itu menemui 245 liter petrol dengan nilai rampasan melebihi RM10,000.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek membeli kenderaan itu tanpa menukar nama pemilik asal sebagai helah mengelak dikesan pihak berkuasa dan memudahkan kegiatan penyelewengan.
Tetapi, katanya, kedua-dua suspek mengaku terbabit kegiatan itu hampir lima bulan lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki dan berurusan dengan barang kawalan tanpa kebenaran sah.