Disyaki rogol anak saudara OKU, warga emas ditahan

Disyaki rogol anak saudara OKU, warga emas ditahan

Polis berkata kejadian itu disyaki berlaku lebih sekali tetapi mangsa tidak dapat menyatakan berapa kali kerana berstatus OKU masalah pembelajaran sejak kecil.

gari
Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam berkata suspek ditahan pada hari sama dan mengaku melakukan hubungan seks dengan mangsa.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas ditahan kerana disyaki merogol anak saudara kurang upaya (OKU) di sebuah rumah di Kampung Kolam Ikan, Bayan Lepas, Ahad lalu.

Ketua Polis Barat Daya, Sazalee Adam, berkata ibu mangsa yang pulang daripada bekerja menyedari ketiadaan gadis 27 tahun itu kira-kira 6 petang, sebelum ke rumah suspek bersama rakannya.

Beliau berkata, setiba di rumah suspek yang juga sepupunya dipanggil “Pak Long”, ibu mangsa mendapati anaknya berada di bilik air dalam keadaan bogel.

“Suspek memberitahu ibu mangsa bahawa mangsa ke rumahnya dengan berjalan kaki seorang diri untuk mandi,” katanya menurut Sinar Harian.

“Selepas ditanya, anak perempuannya menceritakan suspek melakukan perkara tidak senonoh terhadapnya di ruang tamu rumah tersebut,” katanya sambil menambah ibu mangsa kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek berusia 64 tahun yang tidak bekerja itu tinggal bersendirian di rumah kampung berkenaan, manakala isteri dan anaknya menetap di Sungai Pinang, George Town.

Beliau berkata, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu tidak pernah bersekolah dan tinggal bersama ibu, adik-beradik serta keluarga sepupunya.

Katanya, kejadian disyaki berlaku lebih sekali, tetapi mangsa tidak dapat menyatakan berapa kali kerana berstatus OKU masalah pembelajaran sejak kecil dan tidak mampu memberi keterangan dengan jelas.

Sazalee berkata, pasukan forensik menjumpai beberapa bahan bukti termasuk rambut, tompokan air mani di atas tilam dan baju T milik suspek.

Menurutnya, suspek ditahan pada hari sama dan mengaku melakukan hubungan seks dengan mangsa.

“Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.