China tawar ‘pembaharuan’ ketika tribalisme ekonomi meningkat, kata Anwar

China tawar ‘pembaharuan’ ketika tribalisme ekonomi meningkat, kata Anwar

Perdana menteri memuji kesetiaan China sebagai rakan dan membidas fahaman proteksionisme serta unilateralisme.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Malaysia kepada hubungan dengan China yang berasaskan dari rasa saling hormat menghormati dan nilai peradaban yang dikongsi bersama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji peranan China di pentas global, menyifatkan Beijing sebagai sumber ‘pembaharuan’ pada era tribalisme ekonomi yang semakin meningkat dan kerjasama pelbagai hala terancam.

Dalam satu majlis makan malam rasmi bagi menyambut Presiden Xi Jinping, Anwar berkata inisiatif yang digerakkan China membawa ‘harapan baharu’ pada saat ketidaktentuan dalam sistem antarabangsa.

“Mereka berpandangan ke luar, bukan ke dalam. Mereka berbicara bukan tentang persaingan, tetapi tentang pembaharuan,” katanya.

Anwar berkata suasana global kini semakin dicengkam oleh fahaman proteksionisme dan unilateralisme, hinggakan sesetengah negara melemahkan kerjasama dan komitmen jangka panjang.

“Di beberapa bahagian, sistem berasaskan peraturan telah dimanipulasi. Dialog digantikan dengan desakan, tarif dikenakan sewenang-wenangnya, dan kerjasama antarabangsa tenggelam dalam retorik ugutan serta paksaan.

“Apa yang kita saksikan hari ini bukanlah usaha jujur untuk memperbetul ketidaksempurnaan globalisasi, tetapi sebaliknya langkah ke belakang ke arah tribalisme ekonomi.

“Akses pasaran digunakan sebagai senjata. Apa yang dahulunya satu perjanjian pelbagai hala untuk berkongsi pertumbuhan retak di bawah tekanan dan tindakan unilateral,” katanya.

Anwar turut menyatakan penghargaan Malaysia pada pendekatan China yang konsisten dan boleh dipercayai dalam waktu yang mencabar.

“Dalam masa sukar ini, dunia mahukan kestabilan, kebolehpercayaan dan hala tuju yang jelas. Kami melihatnya dalam tindakan China.

“Malaysia mengiktiraf kestabilan ini dan menyedari bukan sahaja ketenangan yang dibawa, malah harapan yang terus ditawarkan,” katanya.

Anwar mengulangi komitmen Malaysia kepada hubungan dengan China yang berasaskan rasa saling hormat menghormati dan nilai peradaban yang dikongsi bersama.

“Dengan China, kami melaksanakan dialog antara peradaban seperti antara Islam dan Konfusianisme, bagi memperkukuh lagi ikatan kefahaman — menekankan persamaan dalam usaha mencari keharmonian dan kemakmuran bersama,” katanya.

Anwar menegaskan Malaysia akan kekal sebagai ‘rakan yang setia dan berprinsip’ kepada China.

“Semoga persahabatan antara Malaysia dan China terus utuh sedalam lautan, seteguh dan seterang bintang di langit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.