
Berita Harian melaporkan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ridzuan Yusof, 28, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dan diterangkan jurubahasa mahkamah.
Majistret bertanya semula bagi memastikan tertuduh yang juga orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran memahami pertuduhan itu kerana dia hanya mengangguk sebelum menjawab “ya, faham”.
Beliau menetapkan hukuman bermula tarikh tangkapan 11 April lalu selepas menimbangkan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pemberatan hukuman oleh pendakwaan.
Tertuduh didakwa memeluk, menyentuh kemaluan dan menekup mulut gadis berusia 20 tahun 10 bulan dari belakang, dengan niat mencabul kehormatan hingga mendatangkan ketakutan serta kegentaran kepada mangsa di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka kira-kira 10 malam 10 April lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pembantu klinik gigi berjoging di taman itu bersama seorang rakan.
Apabila selesai, mangsa ditinggalkan bersendirian dan menunggu dekat Stadium Hoki di sana kerana rakannya terus berjoging sebelum tiba-tiba didatangi tertuduh yang melakukan perbuatan seperti dalam pertuduhan.
Tertuduh yang melarikan diri apabila mangsa menjerit meminta tolong, ditahan polis selepas laporan dibuat.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon denda ringan atas alasan tertuduh OKU pembelajaran dan bekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 sebulan serta membantu menyara keluarganya.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Isshar berhujah hukuman berat perlu dijatuhkan kerana OKU bukan alasan untuk meringankan hukuman memandangkan tertuduh bukan OKU masalah mental.