
Lee Lan berkata keluarganya disoal siasat beberapa kali sepanjang tempoh siasatan kes termasuk sesi soal siasat polis, keterangan bersumpah berulang kali di mahkamah, serta penilaian psikologi oleh pakar yang dilantik kerajaan.
“Semua kenyataan, keterangan dan laporan siasatan sudah pun direkodkan. Pihak polis boleh mengakses dokumen ini bila-bila masa.
“Apa lagi bentuk kerjasama yang polis perlukan daripada kami? Dengan enam siasatan polis dalam tempoh 16 tahun, mengapa isu ‘tidak beri kerjasama’ baru dibangkitkan sekarang?
“Keluarga kami tiada di lokasi kejadian. Bagaimana kami boleh membantu polis menangkap pembunuh?” katanya dalam satu kenyataan.
Lee Lan berkata polis sepatutnya menumpukan perhatian kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didapati memberi keterangan palsu oleh Mahkamah Rayuan dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Beliau turut menggesa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan bukan Seksyen 342 kerana kurungan salah.
Semalam, Shuhaily memaklumkan siasatan semula kes kematian Beng Hock kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan sedang diperkemas sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.
Shuhaily juga berkata, pihaknya juga tidak mendapat kerjasama baik daripada keluarga Teoh dalam usaha melengkapkan siasatan.
Teoh, ketika itu setiausaha politik Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan sama.
Koroner dalam inkues kematian Teoh pada 2011 membuat keputusan terbuka.
Keluarga Beng Hock kemudian memfailkan rayuan dan tiga tahun kemudian, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan memutuskan kematiannya berpunca daripada pelbagai kecederaan akibat perbuatan jenayah oleh individu tidak dikenali.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pihak berkuasa membuka semula dan menyiasat secara menyeluruh semua aspek kematian Teoh.