
Susulan keputusan hari ini, denda RM5,000 dijatuhkan Mahkamah Majistret ke atas bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) sebelum ini, kini berjumlah RM10,000.
Hakim Muhammad Jamil Hussin menolak rayuan Wong untuk mengetepikan sabitan dan hukuman, sebaliknya membenarkan rayuan pendakwaan untuk menambah hukuman denda.
Dalam penghakiman ringkas, hakim berkata mahkamah mempertimbangkan empat isu utama dalam rayuan kedua-dua pihak, iaitu pertuduhan defektif, kekhilafan dalam sabitkan kes, isu pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan hukuman denda.
“Setelah meneliti keseluruhan kes, tiada keraguan dalam kes pendakwaan dan kesalahan seperti pertuduhan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
“Tidak ada alasan mencukupi untuk mengganggu keputusan majistret yang menyabitkan perayu dan sabitan ke atas perayu adalah selamat, oleh itu sabitan terhadap perayu dikekalkan.”
Katanya, beliau bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa denda RM5,000 tidak mencukupi dan tidak bersesuaian dengan fakta serta keadaan kes ini.
“Denda RM5,000 diketepikan dan digantikan dengan denda RM10,000 atau enam bulan penjara, jika gagal bayar denda. Saya difahamkan perayu telah membayar RM5,000 sebelum ini, oleh itu dia dikehendaki membayar RM5,000 lagi.”
Mengikut pertuduhan, Wong didakwa sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim serta tetamu pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM pada Oktober 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada Oktober 2023, Mahkamah Majistret menjatuhkan denda RM5,000 terhadap Wong yang didapati bersalah atas pertuduhan itu, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.