
Beliau berkata, jawatankuasa itu mengambil maklum bantahan yang dikemukakan dan akan meneliti setiap satu bersama pihak pembina sistem dan juruaudit yang dilantik.
“Segala keputusan berkenaan dengan bantahan akan diumumkan selepas semua proses pengundian pada peringkat cabang selesai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengingatkan pengundi fasa kedua supaya memuat turun atau mengemas kini aplikasi Adil kepada versi terbaru sebagai persediaan untuk proses pengundian.
Katanya, fasa pertama pemilihan, melibatkan cabang, Pemuda dan Wanita cabang di tujuh negeri, diadakan dari 11 hingga 13 April lepas.
Sementara itu, fasa kedua pengundian di tujuh lagi negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail menggesa pemilihan di negeri lain ditangguhkan berikutan ‘penemuan pelik yang menimbulkan kemusykilan’ dalam proses pengundian.
Rodziah gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian Shah Alam pada hujung minggu lepas, dikalahkan oleh Adun Kota Anggerik Najwan Halimi, yang memperoleh 1,213 undi, berbanding 899 undi diperoleh Rodziah.
Beliau membantah kekalahannya dengan mempersoalkan undi diterima lebih rendah berbanding pasukannya.
“Selaku bekas Adun di Shah Alam, saya memang dikenali dan merujuk pemilihan penggal lepas, jumlah undi yang saya peroleh melebihi pasukan saya,” katanya.