Mangsa culik disorok bagasi elak dikesan, kata polis

Mangsa culik disorok bagasi elak dikesan, kata polis

Polis berkata kes penculikan itu dipercayai didalangi seorang wanita daripada enam warga tempatan ditahan semalam.

shuhaily zain
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) menunjukkan bagasi digunakan penjenayah untuk menyorok mangsa culik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berkata, seorang remaja diculik di Seremban, Negeri Sembilan dan disorok dalam bagasi bagi mengelakkan dikesan ketika penjenayah memindahkannya dari kenderaan ke sebuah rumah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata gadis 16 tahun itu diculik ketika berjalan bersendirian ke kedai serbaneka di Uptown Avenue, Seremban 2, pada 10 April lalu.

“Mangsa bersama ibunya sebelum itu ke sebuah salun di kawasan sama. Dalam perjalanan ke kedai serbaneka, mangsa diculik dua lelaki dan dimasukkan dalam kenderaan sebelum melarikan diri.

“Ibu mangsa seterusnya menghubungi bapanya (datuk mangsa) yang kemudian membuat laporan polis,” katanya menurut Bernama dalam sidang media di Bukit Aman.

Menurutnya, ibu mangsa yang menerima panggilan daripada penjenayah menuntut wang tebusan RM2 juta, membayar RM280,000 serta menyerahkan beberapa barang emas keesokannya.

Selain menahan enam warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun semalam, beliau berkata, polis turut memperoleh semula wang tebusan RM180,000.

Katanya, polis merampas beberapa telefon bimbit dan pengesan logam dipercayai digunakan penjenayah untuk mengesan alat pengesan dalam beg digunakan untuk membayar wang tebusan.

Shuhaily berkata, siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 setakat ini mendapati kes penculikan dipercayai didalangi seorang wanita daripada enam suspek itu dan polis giat memburu seorang lagi suspek lelaki.

Semalam, seorang lelaki disyaki terbabit kes culik itu maut berbalas tembakan dengan polis di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.