Malaysia boleh tingkat kerjasama pertahanan dengan China, kata pakar

Malaysia boleh tingkat kerjasama pertahanan dengan China, kata pakar

Namun ia perlu diurus dengan cermat agar tidak ganggu hubungan Malaysia dengan rakan kongsi lain.

02 FA-50 jet and Anka drone wikiepdia pic 140425
Pesawat FA-50 dari Korea Selatan dan dron Anka dari Turki beri isyarat bahawa Malaysia menggemari rakan-rakan dalam kalangan kuasa pertengahan.
PETALING JAYA:
Malaysia berpotensi untuk mewujudkan suatu asas yang bermakna bagi meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala dengan China, namun inisiatif sedemikian perlu dilakukan secara cermat, menurut seorang pakar pertahanan.

Jamil Ghani, seorang calon PhD di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, percaya kewaspadaan akan terus membimbang pendekatan Malaysia dalam hubungan pertahanan China, walaupun terdapat beberapa perkara yang mana kerjasama boleh dijalin tanpa mencetuskan sebarang kebimbangan.

“Bagi Malaysia, sebarang usaha mendalamkan kerjasama dengan China mungkin terbatas kepada perkara tertentu dan dapat dilaksanakan, misalnya latihan bersama untuk bantuan kemanusiaan dan bencana, rondaan cegah lanun di perairan yang tidak dipertikaikan, atau usaha sama pertahanan siber di bawah rangka kerja hibrid membabitkan pihak awam dan tentera,” katanya kepada FMT.

Perkembangan itu bagaimanapun perlu diurus secara cermat agar tidak mengganggu hubungan Malaysia dengan rakan kongsi lain.

“Anggapan pihak lain terhadap kerjasama itu perlu diurus secara cermat agar tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara-negara Five Power Defence Arrangements (FPDA), Amerika Syarikat, malah negara-negara Asean termasuk Filipina dan Vietnam.”

FPDA suatu pakatan pertahanan membabitkan lima negara Komanwel iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom. Dimeterai pada 1971, tujuan utamanya untuk menyediakan sokongan pertahanan bagi Malaysia dan Singapura.

Jamil berkata adalah penting anggapan pihak lain diurus memandangkan sikap Malaysia terhadap China dalam hal pertahanan mesti dibentuk oleh identiti sebuah negara yang berkecuali.

Katanya, Malaysia terus mengamalkan pendekatan yang seimbang dan pragmatik dalam hubungan pertahanan — mengekalkan libat urus diplomatik dengan China sambil menangani kebimbangan di Laut China Selatan.

“Pertemuan pada Januari 2025 antara ketua turus bersama tentera China, Liu Zhenli, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menonjolkan bahawa Malaysia mengutamakan dialog dan diplomasi ketenteraan berbanding penjajaran operasi yang lebih mendalam,” katanya.

Katanya, keutamaan ini sejajar usaha Malaysia memelihara tuntutannya di bawah Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut agar hubungan pertahanan sedia ada dengan rakan-rakan kongsi utama tidak terjejas.

Kerjasama mendalam dengan China

Menurut Jamil, Malaysia akan boleh lebih mesra dengan China sekiranya Beijing lebih mengawal diri di zon ekonomi eksklusif (ZEE) yang dituntut Malaysia, khususnya sekitar Gugusan Beting Raja Jarum dan Patinggi Ali.

Katanya, Beijing akan memupuk semangat muhibah sekiranya ia mengambil langkah tersebut.

“Kerjasama yang lebih mendalam tidak akan dapat dipertahankan dari segi politik, jika China tidak mengambil langkah tersebut, walau apa pun tahap pergantungan ekonomi,” katanya.

Thomas Daniel, pengarah dasar luar dan kajian keselamatan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, berkata hubungan pertahanan lazimnya berjalan secara lebih berhati-hati berbanding hubungan politik, ekonomi, dan budaya dua hala antara negara.

“Tekanan dan keberadaan China secara berterusan di ZEE Malaysia di Laut China Selatan akan sentiasa menjadi kebimbangan utama badan pertahanan Malaysia.

“Ia berkemungkinan sekali menghalang kerjasama yang lebih substantif kecuali penilaian ancaman berubah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Jamil ambil maklum Malaysia baru-baru ini membuat pemerolehan yang ketara untuk pertahanan negara dalam usaha mempelbagaikan pembekal. Katanya Malaysia memilih negara-negara pembekal yang sejajar dengan strateginya.

“Pilihan Malaysia baru-baru ini, seperti pesawat FA-50 dari Korea Selatan dan dron Anka dari Turki, memberi isyarat bahawa Malaysia menggemari rakan-rakan dalam kalangan kuasa pertengahan, yang menggandingkan harga yang berdaya saing dengan keneutralan politik, boleh dipercayai, dan peluang untuk memindahkan teknologi,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata lawatan Presiden China, Xi Jinping, minggu ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan harapan untuk memperdalam kerjasama ekonomi dan hubungan antara rakyat, berlatarkan tarif yang dikenakan AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.