Mahkamah batal saman Ahli Parlimen Labuan terhadap Bersatu

Mahkamah batal saman Ahli Parlimen Labuan terhadap Bersatu

Mahkamah tidak boleh buat keputusan disebabkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, kata Hakim Noor Hayati Mat.

Suhaili Abdul Rahma
Mahkamah Tinggi Shah Alam batal saman Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman terhadap Bersatu berhubung pemecatannya daripada parti pada Mei tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan saman dikemukakan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang memohon pengisytiharan bahawa pemecatannya daripada Bersatu tahun lalu tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Hakim Noor Hayati Mat berkata, mahkamah tidak boleh membuat keputusan berhubung perkara itu disebabkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan keputusan parti politik adalah muktamad dan konklusif.

“Peruntukan itu menyatakan sebarang keputusan dibuat oleh parti politik tidak boleh disemak di mahkamah,” katanya dalam keputusan disampaikan dalam prosiding dalam talian petang tadi.

Hayati turut mengarahkan Suhaili membayar kos RM5,000 kepada Bersatu.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Choo Shi Jin dan Woo J Enn mewakili Suhaili manakala peguam Chetan Jethwani dan Tang Jia Yearn mewakili Bersatu.

Suhaili memfailkan saman pada 1 Julai tahun lalu, menyatakan pada 2 Nov 2023, Lembaga Disiplin Bersatu mengeluarkan surat memaklumkan beliau didakwa melanggar Artikel 22.1(f) perlembagaan parti.

Beliau berkata, tuduhan itu berhubung kenyataan akhbar yang dibuatnya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Suhaili berkata, pada 3 Nov 2023, beliau menulis kepada lembaga itu menjelaskan bahawa kenyataan tersebut dibuat berikutan kegagalan parti menyediakan dana untuk membantu penduduk Labuan.

Beliau mendakwa, walaupun dengan penjelasan yang munasabah, lembaga itu secara tidak sah dan tidak rasional memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun pada 7 Nov 2023.

Suhaili kemudian memulakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Dis 2023, tetapi kes digugurkan selepas mahkamah memutuskan ia perlu difailkan di Semenanjung.

Pada 17 Mei lalu, Suhaili mendakwa menerima surat daripada Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin memaklumkan beliau dipecat secara automatik kerana memfailkan saman terhadap parti, berdasarkan Artikel 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.