
Sumber berkata, suspek yang berjawatan pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah itu daripada seorang pemilik syarikat bergelar ‘Datuk’ sekitar 2021 hingga 2023.
“Ia sebagai balasan kerana memberikan kerja menambak laut seluas kira-kira 100 ekar kepada syarikat milik individu terbabit di perairan Kota Laksamana.
“Susulan itu, suspek bersama individu bergelar Datuk berkenaan telah ditahan sekitar 4.30 hingga 5 petang semalam ketika hadir di pejabat SPRM Melaka bagi dirakamkan keterangan,” katanya.
Timbalan speaker berusia 60 tahun itu diperintah reman selama enam hari hingga 20 April oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie, mengesahkan tangkapan untuk siasatan kes bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
“Suspek kedua bergelar Datuk bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik keterangannya selesai dirakamkan,” katanya.
Terdahulu, Peguam Rafique Rashid Ali dilaporkan berkata Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Mohamad Ali Mohamad direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah.
Mohamad Ali pernah berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Negara, bermula Disember 2020 hingga Mei 2023.
Sebelum menyertai Bersatu tahun lalu, beliau adalah ketua Umno Tangga Batu.
Beliau mewakili Barisan Nasional di Sungai Udang pada PRN Melaka 2021, namun kalah kepada calon Perikatan Nasional, Aleef Yusof dengan majoriti 530 undi.