
Pengerusi MyCC, Idrus Harun, berkata pada peringkat keputusan cadangan itu, perusahaan tersebut didakwa melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712),
MyCC mendapati, semua perusahaan itu dipercayai bukan sahaja membincangkan cadangan menaikkan yuran perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, malah bersama mencapai keputusan bersetuju dalam mesyuarat persatuan.
“Keputusan tersebut kemudian dimaklumkan kepada semua ahli persatuan dan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak yang lain melalui pekeliling,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
“MyCC mendapati tindakan ini bertujuan menghalang dan menyekat persaingan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.”
Bagaimanapun, Idrus berkata, keputusan cadangan dikeluarkan oleh MyCC masih pada peringkat dapatan awal, justeru belum boleh diandaikan mana-mana perusahaan terlibat secara konklusifnya melanggar Akta 712.
Katanya, semua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan ini telah dimaklumkan semalam mengenai penalti dan arahan yang dicadangkan oleh MyCC.
Menurutnya, perusahaan ini diberi peluang mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan, serta membentangkan representasi lisan pada tarikh akan ditetapkan kelak.
“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan,” katanya.