Tokoh Bersatu kecam layanan Sabah terhadap Samsuri

Tokoh Bersatu kecam layanan Sabah terhadap Samsuri

Razali Idris sifatkan kejadian MB Terengganu itu 'ditarik ke tepi' di lapangan terbang Sabah bukanlah prosedur rutin.

Pemimpin Bersatu Razali Idris berkata, MB Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tidak patut dilayan seolah-olah ‘pesalah besar’ ketika memasuki dan meninggalkan Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mengecam pihak berkuasa Sabah atas layanan mereka terhadap Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, menyifatkannya sebagai ‘intimidasi politik’.

Razali Idris berkata, Samsuri, yang tidak pernah dikaitkan dengan salah guna kuasa, rasuah atau sebarang kegiatan jenayah, dilayan seolah-olah ‘seorang pesalah besar, dipinggir, diawasi, dan dipaksa menunggu seperti tiada maruah sebagai ketua kerajaan negeri’ ketika memasuki dan meninggalkan Sabah.

“Apakah ini cara kita melayan seorang pemimpin negeri yang telah terbukti bersih, tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah guna kuasa, jenayah atau rasuah?” soal Razali dalam kenyataan.

Awal hari ini, Samsuri mengesahkan beliau ditahan oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semasa lawatan ke Sabah baru-baru ini.

Merujuk kepada gambar tular yang didakwanya diambil oleh orang awam, beliau berkata, beliau berdepan pengalaman itu sebaik tiba di negeri itu pada 6 April dan berlepas pulang keesokan harinya.

Menurut Samsuri, beliau ‘ditarik ke tepi’ dalam kedua-dua kejadian sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan, mendakwa proses itu memerlukan pelepasan daripada Cawangan Khas.

Razali yang juga bekas ketua penerangan Bersatu hari ini berkata, pengalaman Samsuri di Sabah itu bukanlah prosedur rutin.

“Apa yang berlaku ke atas beliau bukan disebabkan kejahilan terhadap peraturan, tetapi adalah manifestasi penguatkuasaan TCO (Perintah Kawalan Perjalanan) secara selektif dan bersifat politik,” katanya.

Pada Khamis, Samsuri yang juga naib presiden PAS mendakwa beliau ditandakan sebagai individu berisiko dalam sistem kawalan sempadan Malaysia, malah telefonnya turut dipintas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tokoh penting (VIP) memang lazimnya ditandakan, dan beliau sendiri turut dikenakan pemantauan sedemikian.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail turut menyangkal dakwaan Samsuri dengan berkata, menteri besar tidak perlu diintip kerana sudah diberikan kawalan keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pihak berkuasa tidak pernah meletakkan nama Samsuri sebagai individu berisiko sehingga menyebabkan pergerakannya dipantau ketat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.