Rompak emas di Hat Yai: Lelaki ada 10 rekod jenayah lampau di Malaysia

Rompak emas di Hat Yai: Lelaki ada 10 rekod jenayah lampau di Malaysia

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata warga emas berusia 63 tahun itu guna dokumen palsu sembunyi di Thailand.

rompak kedai emas hatyai
Pada Rabu, Polis Thailand menahan lelaki warga emas dari Malaysia kerana disyaki merompak emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand kerana disyaki merompak kedai emas di negara itu pada Rabu lalu memiliki 10 rekod jenayah lampau, termasuk dikehendaki atas dua kes jenayah berat di Malaysia.

Lelaki berusia 62 tahun itu turut disahkan mempunyai dua rekod dikehendaki polis bagi kes bunuh dan satu lagi kes di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata kertas siasatan membabitkan lelaki itu sedang disemak sebelum proses ekstradisi dilakukan, dan siasatan berhubung kesalahan dilakukannya di Thailand, diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu.

“Penahanan lelaki itu telah dimaklumkan sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok, Thailand atas kesalahan samun bersenjata di Hat Yai.

“Lelaki tersebut masih berada di lokap Hatyai untuk siasatan dan kami akan meneliti lanjut kesalahan yang dilakukannya di negara ini bagi tindakan ekstradisi,” katanya kepada Bernama.

Razarudin berkata, semakan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak tinggal di Malaysia dan turut dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di Thailand.

Beliau berkata, ketika tangkapan dibuat pihak berkuasa Thailand, lelaki itu dikesan memiliki kad pengenalan Thailand disyaki palsu serta tiada MyKad atau pasport negara ini.

Pada 9 April, polis Thailand mengesahkan seorang lelaki warga emas ditahan di daerah Nonthaburi, Bangkok, Thailand selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Hat Yai, Thailand.

Suspek dipercayai melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.