Projek siap tapi air tak mengalir ke rumah, dakwa wakil rakyat

Projek siap tapi air tak mengalir ke rumah, dakwa wakil rakyat

Suhaimi Nasir rujuk tiga projek bernilai RM180 juta yang sepatutnya mampu salur air kepada penduduk di enam kampung di Libaran.

Adun dilantik Sabah Suhaimi Nasir berharap masalah pada 3 projek bekalan air di Libaran dapat diselesaikan segera. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Adun dilantik Sabah mendakwa ada penduduk di Libaran, Sandakan, masih menggunakan air hujan dan sungai sebagai sumber keperluan harian walaupun tiga projek bekalan utiliti itu telah siap.

Berucap pada sidang DUN Sabah, Suhaimi Nasir merujuk tiga projek bernilai RM180 juta yang telah siap dan sepatutnya mampu menyalurkan air kepada penduduk di Lalasun, Tanjung Pisau, Dandulit, Kuala Gum-Gum, Banting dan Sungai Beruang.

Namun, beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran mendakwa, walaupun tangki dan rumah pam siap dibina, bekalan air masih tidak mengalir ke paip rumah penduduk.

Suhaimi Nasir
Suhaimi Nasir.

“Lebih menyedihkan apabila projek siap dibina, tetapi gagal berfungsi.

“Apa maknanya kita membina infrastruktur untuk rakyat tapi masih menggunakan air hujan dan air sungai tercemar untuk keperluan harian?” katanya yang berharap masalah itu dapat diatasi segera.

Menurutnya, tiga projek itu juga telah dilawati Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Oktober tahun lepas yang menunjukkan masalah serius dihadapi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan audit menyeluruh terhadap prestasi kontraktor konsesi dilantik menyelenggara jalan raya di Sabah.

Katanya, hal ini kerana rakyat sering mempertikaikan kualiti kerja penyenggaraan yang didakwa cepat rosak walaupun baru ditampal seminggu sebelumnya.

“Menteri menjawab jalan raya lebih tempoh hayat, sekiranya itu berlaku mengapa tiada perancangan awal bagi mengatasi masalah terbabit?

“Saya mencadangkan satu audit menyeluruh dilakukan terhadap prestasi kontraktor dilantik serta ketelusan dalam pemberian kontrak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.